Terkini di Kemaman !!!

Thursday, October 15, 2015

FAMA Sedia Kit Makanan Pertama Kepada Mangsa Bencana Di Pusat Pemindahan - Shabery

KEMAMAN, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menyediakan kit makanan pertama untuk mangsa bencana di seluruh negara terutamanya bagi mangsa banjir tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kit makanan tersebut penting bagi memastikan mangsa banjir mendapat makanan segera yang tidak perlu dimasak sebaik sahaja tiba di pusat pemindahan.

"Kit makanan ini merupakan makanan yang pertama perlu mereka peroleh dan makanan ini tak perlu dimasak seperti roti, sekaya, sambal bilis dan biskut yang mana kalau dulu kita hanya bergantung kepada beras, sardin yang memerlukan dapur untuk dimasak...tetapi dengan adanya kit makanan ini mangsa boleh memakannya sementara menunggu nasi dan lauk siap.

"Kit makanan ini kita tak hanya edar untuk mangsa banjir, tetapi juga mangsa bencana lain seperti mangsa kebakaran yang mana baru-baru ini sewaktu saya ke Semporna, Sabah ada kebakaran yang melibatkan 150 keluarga, kita agihkan kit makanan ini," katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Simulasi Banjir Kemaman dan Pelancaran Kemaman Siapsiaga 2015.

Ahmad Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman berkata bagaimanapun jumlah peruntukan sebenar untuk kit makanan tersebut masih belum diputuskan.

Menurut Ahmad Shabery, untuk persiapan banjir tahun ini di Kemaman, dianggarkan 40,000 kit makanan akan disediakan di 76 pusat pemindahan banjir seluruh daerah.

"Saya juga sudah arahkan agensi di bawah kementerian yang mempunyai ramai anggota untuk sentiasa bersiap siaga dengan segala kemungkinan bencana dan mereka patut berada di barisan hadapan...jika sesuatu bencana berlaku mereka dah tahu prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilakukan untuk keselesaan mangsa bencana," katanya.

Ahmad Shabery berkata selain kit makanan pihaknya juga membuat penambahbaikan lain di daerah Kemaman iaitu dengan mengubah pemikiran orang ramai supaya berpindah lebih awal sebelum berlaku bencana.

"Kita akan sediakan kalendar pasang surut air laut, ramalan hujan untuk orang ramai supaya penduduk tahu bila waktu sesuai untuk mereka berpindah dan mereka sudah bersedia awal dengan membawa segala dokumen penting dan jangan hanya bila air dah naik, baru kita nak pindah," katanya.

Program simulasi banjir yang dianjurkan selama dua hari itu melibatkan 168 peserta daripada pelbagai agensi dan penduduk di Kampung Felda Seberang Tayor.

-- BERNAMA