Terkini di Kemaman !!!

Wednesday, September 11, 2013

Bulan Kemerdekaan : Teruskan kibar bendera !


KUALA LUMPUR: Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata rakyat Malaysia masih belum menjadikan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai satu budaya setiap kali menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan.


Beliau berkata walaupun setiap individu mempunyai cara tersendiri mempamerkan semangat patriotik masing-masing namun tindakan mengibar bendera negara tidak boleh dipandang remeh.

"Setiap kali Bulan Kemerdekaan, rakyat Malaysia terpaksa diseru untuk berbuat demikian atau mereka hanya bersikap menunggu pihak berkaitan memasang bendera di kawasan perumahan mereka, " katanya dalam program bual bicara RTM 'Dialog' sempena Hari Kemerdekaan malam tadi.

Program selama sejam, yang dikendalikan oleh Syed Munawar Syed Mustar, disiarkan secara langsung  menerusi TV1.

Ahmad Shabery berkata di sesetengah negara, rakyatnya sendiri yang akan bertindak mengibar dan menggantungkan bendera negara mereka di rumah masing-masing setiap kali tiba bulan kemerdekaan tanpa disuruh.

"Tetapi kita tidak boleh berputus asa, kita perlu menyeru dan mendidik rakyat untuk mengibarkan bendera dan simbol-simbol yang berkait dengan kemerdekaan ini adalah suatu perkara yang menjadi perjuangan berterusan," katanya.

Ahmad Shabery, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, berkata tema sambutan kemerdekaan tahun ini yang bertajuk 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' dipetik dari lirik lagu Negaraku bagi menimbulkan perasaan ingin mempertahankan negara di kalangan rakyat pelbagai kaum.

Katanya, insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada awal tahun ini adalah satu pengajaran bahawa rakyat perlu kembali bersatu untuk memastikan keamanan serta kemakmuran dapat dinikmati sepanjang masa oleh semua pihak.

Menyentuh mengenai lagu Negaraku yang akan dimainkan di pawagam di seluruh negara sebelum tayangan sesuatu filem, beliau berharap lagu kebangsaan itu akan dihormati oleh semua lapisan rakyat.

"Apa salahnya kita mulakan, cuma seminggu sahaja...kita mulakan di pawangan dengan kita hayati, berdiri dan menghormatinya," katanya.

Beliau berkata pengendali pawagam di seluruh negara juga akan menghasilkan video promo kemerdekaan sendiri bagi memberi kelainan dan kreativiti.

Ahmad Shabery turut memuji sebuah video kemerdekaan negara India, yang memaparkan suasana perhimpunan sekolah kanak-kanak bisu yang menyanyikan lagu negara mereka dalam bahasa isyarat.

"Saya sendiri boleh menangis (lihat video itu), mereka ada kecacatan tetapi memberikan jiwa dan raga untuk negara," katanya ketika video itu disiarkan pada program tersebut.

No comments:

Post a Comment