Terkini di Kemaman !!!

Sunday, October 23, 2016

Banjir : 'Akar umbi' bersiapsiaga di Kemaman

Daerah Kemaman kini sudah bersiap siaga di semua peringkat akar umbi dalam menghadapi kemungkinan banjir termasuk usaha penambahbaikan seperti menyediakan kemudahan perlindungan insurans berjumlah RM1,000 untuk setiap keluarga yang dilanda bencana itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bantuan insurans itu sudah tentu memberi kelegaan kepada mangsa banjir berbanding sebelum ini semenjak banjir terburuk melanda daerah ini pada 2013.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kaedah bantuan bentuk baharu dengan memberi penekanan kepada keperluan melindungi haiwan ternakan turut diambil kira dalam membantu mangsa banjir di daerah ini.

Ahmad Shabery seterusnya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi pengurusan bencana nasional (Nadma) yang memilih Kemaman bagi pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional kali ini.

Majlis pelanca­ran­­­nya akan di­sem­­purnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kemaman Waterfront di sini hari ini.

“Kita ucapkan setinggi terima kasih kepada agensi pengurusan bencana nasional kerana pilih Kemaman untuk pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional kali ini.

“Ini merupakan satu penghormatan kepada Kemaman untuk memastikan semua agensi terlibat memperkemaskan segala SOP (prosedur operasi standard) bagi mengelakkan kemusnahan lebih teruk akibat banjir,” katanya.

Beliau memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas me­ninjau persediaan terakhir maj­lis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2016 di Kemaman Waterfront semalam.

Yang turut hadir wakil-wakil daripada jabatan kerajaan termasuk Pegawai Daerah Kemaman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir daerah itu, Rosman Roslan.

Menurut Ahmad Shabery, apa yang lebih penting dalam setiap SOP atau kaedah pengurusan banjir kali ini adalah menjurus kepada bentuk kerjasama dan semangat muafakat semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi.

“Kesiapsiagaan bukan hanya dalam aspek anggota penyelamat dan aset saja, apa yang lebih pen­ting adalah semangat kerjasama di peringkat akar umbi. Ini kerana, bencana dan kecemasan adalah dua perkara berbeza,” jelasnya.

Selain itu, ia turut membentuk satu budaya serta amalan membuat persiapan lebih awal terma­suk bertindak segera menyelamatkan barangan serta peralatan isi rumah ke tempat selamat sebelum banjir melanda, katanya.

“Salah satu prinsip penting dalam pelan "Kemaman Siap Siaga" adalah kesedaran bahawa persediaan bencana itu perlu bermula di peringkat akar umbi. Bantuan da­ripada agensi-agensi pusat adalah bersifat pelengkap kepada persediaan di peringkat bawah,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment