26 Okt. - Kerajaan berharap cadangan mewujudkan skim insurans tanaman bagi membantu golongan petani yang mengalami kerugian disebabkan bencana alam dapat direalisasikan selewat-lewatnya hujung tahun depan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya masih memperhalusi cadangan tersebut bagi mencari kaedah terbaik yang dapat memberi manfaat kepada petani, syarikat insurans dan kerajaan.
“Agrobank ada mengemukakan draf pertama cadangan kepada saya (insurans untuk petani), namun saya masih belum berpuas hati. Saya akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak melibatkan wakil petani, Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk mencari kaedah terbaik.
“Ada yang berpendapat kerajaan patut membayar insurans tersebut pada peringkat awal, namun saya melihat lebih baik diadakan perkongsian (antara petani dan kerajaan) supaya tidak timbul masalah pada masa depan.
“Saya minta paling lewat, akhir tahun depan kita sudah boleh memulakan kaedah ini (skim insurans untuk tanaman) kerana saya tidak mahu kita ketinggalan dalam menyediakan perlindungan kepada petani berbanding beberapa negara jiran seperti Filipina dan Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Bencana Agromakanan kepada Usahawan Tani Kedah dan Perlis di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda Wilayah III, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, sebanyak RM2,097,468 telah diagihkan kepada 1,893 petani dari Kedah dan Perlis untuk bantuan bencana banjir pada tahun lalu.
Menurut Ahmad Shabery, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi pihaknya untuk melaksanakan skim tersebut terutamanya kesediaan syarikat insurans untuk menawarkan polisi yang tidak menjamin keuntungan kepada mereka.
“Terdapat beberapa kekangan, pertamanya pihak insurans pasti akan menimbangkan risiko, jika tidak ramai petani yang mengambil polisi tersebut mereka mungkin mengalami kerugian kerana perlu membayar ganti rugi dalam jumlah yang besar.
“Kedua, kita kena menilai jumlah yang mampu dibayar petani dan kerajaan, dan ketiga adalah bentuk pampasan (polisi insurans) yang perlu diperhalusi bagi membolehkan hasrat untuk membantu petani yang mengalami kerugian (akibat bencana) dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengguna pakai model skim insurans yang dilaksanakan di Filipina, Ahmad Shabery berkata, pihaknya mempunyai beberapa pilihan yang boleh dicontohi untuk mencari kaedah terbaik bagi meringankan beban yang ditanggung petani apabila hasil pengeluaran mereka terjejas akibat dilanda bencana.
“Kita kena lihat secara menyeluruh kerana terdapat beberapa pilihan kerana negara seperti Filipina, Indonesia, Amerika Syarikat mahupun Eropah telah melaksanakan skim insurans tanaman.
“Di Amerika Syarikat misalnya, mereka terpaksa membuat undang-undang bagi mewajibkan (polisi) insurans untuk melindungi petani. Kita mungkin akan pergi ke arah wujudkan akta khas kerana syarikat insurans tidak mahu mengambil risiko atau tidak mahu (laksana) secara sukarela sahaja.
“Ini semua kita perlu perhalusi untuk mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan skim tersebut,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, Ahmad Shabery berkata, pengenalan skim insurans tanaman adalah penting memandangkan pesawah merupakan ‘hero negara’ dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan terutamanya beras yang menjadi makanan utama penduduk di negara ini.
Katanya, negara lain telah lama memperkenalkan model skim insurans tersebut bagi memastikan pesawah tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku bencana.
- UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment