Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu menolak notis usul bantahan berhubung tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) untuk dibincangkan dalam sesi perbahasan pada persidangannya.
Notis usul yang dikemukakan ketua pembangkang negeri, Datuk Mohd Shamsudin Lias itu ditolak Speaker Dewan, Hannah Tseow Suan dalam kamarnya dengan alasan perkara tersebut tidak perlu disegerakan dan boleh ditangguhkan pada masa lain.
Mohd Shamsudin dalam satu sidang akhbar berkata beliau mengemukakan notis tersebut berikutan tuntutan Comango itu adalah tidak wajar malah mencalar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan negeri ini.
Katanya, usul itu untuk menyatakan pendirian pihaknya bahawa tuntutan Comango hanya merosakkan akidah rakyat Selangor selain mahu mendapatkan sokongan daripada Adun PAS dan parti lain yang turut sama bersidang.
"Saya melihat usul sebegini harus dibincangkan segera kerana tuntutan Comango membawa implikasi negatif kepada rakyat malah kami akan terus komited untuk mengetengahkan isu ini dalam kalangan rakyat negeri Selangor agar status quo perlembagaan sedia ada dan perkara berkaitan terus dipertahankan," katanya.
Sebelum ini, Comango telah membawa laporan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) antara lain untuk menuntut supaya murtad diterima sebagai hak kebebasan beragama; mengiktiraf hak pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT); menghalalkan perzinaan atas alasan kedua-dua pihak rela dan bersetuju. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment