Terkini di Kemaman !!!

Thursday, October 2, 2014

Perbuatan Alvin Tan tak dapat dimaafkan

KEMAMAN - Kesal terhadap perbuatan biadab Alvin Tan yang menghina pemimpin negara secara keterlaluan melalui laman sosial membuatkan badan siasah & pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini membuat 21 laporan polis menggesa agar blogger terbabit dikenakan tindakan berat bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Kesemua NGO itu yang terdiri daripada Pemuda Umno Bahagian; Puteri Umno Bahagian; Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Terengganu; 4B Kemaman, Majlis Belia Daerah Kemaman; Badan Amal Tabiah Sejagat (Batas) dan Pekida membuat laporan di Balai Polis Chukai kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Seramai 100 ahli kesemua NGO berkenaan turut berhimpun secara aman sambil memegang sepanduk kecaman terhadap Alvin.

Ketua Pemuda Umno Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim berkata, penulis blog itu perlu diekstradisi secepat mungkin ke tanah air supaya dapat dijatuhi hukuman setimpal.


“Kami juga meminta ISA dikembalikan semua dan Akta Hasutan dikekalkan supaya ia dapat memberi rasa gerun kepada mereka yang tidak bertanggungjawab agar tidak melakukan perbuatan melampau seperti kes ini.

“Perbuatannya yang turut mencabar Ketua Polis Negara tidak dapat dimaafkan dan kami sokong ketegasan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mahu mencari Alvin hingga ke lubang cacing,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Negeri Terengganu, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, beliau menghargai tindakan MCA yang turut menyelar tindakan penulis blog berusia 26 tahun itu.

“Jadi kami harap badah siasah & NGO lain tanpa mengira bangsa seperti Suaram, Majlis Peguam, Pemuda Pas dan sebagainya turut sama membuat laporan berhubung perkara ini kerana ia isu negara.

“Perkara ini bukan soal perkauman, bukan sebab pemimpin Melayu yang dihina..jadi NGO Melayu tampil membuat laporan polis, sebaliknya ia bukan atas dasar Melayu. Justeru kami puji tindakan MCA yang tampil menyelar perbuatan Alvin itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Batas Kemaman, Saiful Nizam Kassim berkata, mereka tampil membuat laporan polis kerana sayangkan pemimpin negara yang tidak sepatutnya dihina sedemikian rupa.


“Penghinaan terhadap pemimpin tertinggi negara ini adalah sesuatu yang sangat serius dan Alvin mengambil kesempatan terhadap kelonggaran dan sikap baik hati kita sebelum ini.

“Sudah tiba masanya dia dikenakan tindakan keras agar dia serik kerana ini bukanlah kesalahan pertamanya tetapi sudah banyak kali,” katanya.

Saiful Nizam juga menyifatkan perbuatan Alvin yang mengedit gambar pemimpin itu sebagai perbuatan orang yang tidak bertamadun dan tidak mengenang budi.

“Alvin sebenarnya pengecut kerana kalau dia berani, dia tak akan lari ke Amerika Syarikat. Harap bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) mampu mempercepatkan proses ekstradisi dia ke tanah air,” katanya.

Alvin sebelum ini mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin negara dan mengakui tidak gentar dengan Akta Hasutan melalui akaun Facebooknya, yang turut menyatakan dia sudah melarikan diri ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan perlindungan politik.

- SINAR HARIAN (1/10/2014)