Terkini di Kemaman !!!

Friday, January 24, 2014

Rakyat perlu contohi sikap YB Jabi

Pagi tadi (23/1/2014), terdapat seorang makcik yang sedang duduk bersila tengah jalan di hadapan Klinik Kesihatan Jabi. Keadaan ini membahayakan diri beliau dan pengguna jalanraya yang lain.

Namun, YB Iskandar (ADUN JABI) yang kebetulan lalu untuk ke Program Dana Bantuan Sekolah telah memberhentikan kereta dan menghampiri makcik tersebut dan memujuk beliau untuk naik ke keretanya.

Setelah dipujuk, akhirnya makcik tersebut telah bersetuju untuk naik ke kereta dan YB Iskandar telah menghantar makcik tersebut ke rumah Pengerusi JKKK berdekatan kerana beliau terpaksa ke Program terlebih dahulu.

Apabila disiasat tentang asal usulnya, makcik tersebut tidak mampu memberitahu dengan jelas kat mana rumahnya. 

Akhirnya, pihak YB Iskandar telah meletakkan gambar makcik tersebut didalam Facebooknya dan akhirnya ada kenalan makcik tersebut telah menyatakan lokasi rumah sebenar mak cik tersebut. 

Makcik tersebut telah berjaya dihantar ke rumahnya dan akhirnya YB Iskandar telah sendiri menjenguk keadaan makcik di rumahnya di Kg Pengkalan kubur Tembila.


Alhamdulillah, sesungguhnya rakyat DUN Jabi telah memilih YB yang betul, tepat dan sangat rendah diri orangnya.

*** Generasi akan datang mestilah disemai dengan sifat penyayang dan tolong menolong. Bukannya ditanam dengan sifat kebencian sesama manusia spt yg berlaku di media sosial hari ini.

Thursday, January 23, 2014

Shabery Mahu Kru Filem Tempatan Tingkatkan Kemahiran


Anggota kru filem perlu mengambil peluang daripada Program Pembangunan Bakat Industri Kreatif bagi meningkatkan kemahiran mereka dengan mempelajari teknik terbaharu pengeluaran filem.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata program yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Iskandar itu merupakan batu loncatan kepada karier dalam industri filem antarabangsa.

Program dengan kerjasama Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS) dan Universiti Kuala Lumpur bertujuan melatih dan memperkukuh tahap profesionalisme dan kemahiran di kalangan kakitangan produksi filem.

"Program ini satu inisiatif yang hebat dan kena pada masanya bagi membangunkan ekosistem kreatif di Malaysia, yang akan membolehkan rakyat Malaysia diiktiraf dalam bidang filem dan televisyen di peringkat antarabangsa," katanya dalam ucapan perasmian bagi kumpulan kedua program itu di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah.

Ahmad Shabery berkata industri kreatif Malaysia merekodkan pendapatan RM11.6 bilion pada 2010, yang menyumbang 1.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata penyumbang hasil terbesar ialah filem dan televisyen sebanyak 51 peratus.

Program itu menawarkan 30 kursus intensif, meliputi kemahiran pengeluaran filem dalam pengurusan produksi, jabatan seni, pemilihan pelakon, pengurusan lokasi dan pengurusan teknik bagi filem.

Program itu juga menawarkan bagi pengeluar filem Malaysia, kursus pendek lanjutan dalam penulisan skrip lakon layar dan penyesuaian, sinematografi, reka bentuk pengeluaran dan operasi penerbitan global.

Kumpulan pertama 146 pelatih menamatkan kursus Mei lepas selepas menjalani latihan vokasional intensif 10 minggu daripada pakar-pakar industri antarabangsa.

Kumpulan kedua bagi latihan itu akan bermula mulai Januari hingga Julai. Rakyat Malaysia yang layak boleh mendaftar di www.iskandar-film-training.com.my.

-- BERNAMA

Kurangkan kos caj telefon

Semua syarikat telekomunikasi (Telco) di negara ini digesa supaya mencari kaedah terbaik mengurangkan kos yang dikenakan terhadap penggunaan telefon bagi membantu meringankan beban rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah tersebut dapat membantu mengurangkan beban kenaikan kos hidup yang ditanggung oleh rakyat sejak kebelakangan ini.

"Saya yakin setiap Telco ini mempunyai kaedah bagaimana untuk membantu pengguna dalam mengurangkan beban kos penggunaan telefon ini termasuk panggilan dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Bersama Komuniti dan pelancaran Pusat Internet 1Malaysia di Felda Sungai Tengi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Soha; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Ahmad Shabery berkata, syarikat telekomunikasi perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat untuk memastikan semua rakyat mendapat faedah.

"Jangan hanya umum keuntungan berbilion-bilion ringgit tetapi rakyat berasa terbeban dengan caj dikenakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemudahan pusat internet di Felda Sungai Tengi dapat memberi manfaat kepada masyarakat Felda melonjakkan aktiviti ekonomi mereka.

"Saya berharap penduduk di Felda ini menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaik-baiknya sama ada untuk meningkatkan tahap akademik mahu pun pendapatan keluarga," katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 424 Pusat Internet 1Malaysia di seluruh negara sejak diwujudkan tahun lalu. Kos pembinaan dan kelengkapan bagi setiap pusat itu mencecah sehingga RM300,000.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140122/dn_14/Kurangkan-kos-caj-telefon#ixzz2rDKPzEwP © Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, January 17, 2014

[BANJIR] Beli Kenderaan Amfibia dan bina Pusat Pemindahan Kekal

 Oleh FAUZI MOHD

KEMAMAN 17 Jan.- Kerajaan Terengganu akan membina pusat pemindahan kekal dan perkhidmatan kenderaan amfibia sebagai persiapan menghadapi bencana banjir setiap hujung tahun. 

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, komponen pusat pemindahan pelbagai guna itu terdiri daripada dewan penginapan, surau, tandas, bilik mandi serta sistem bekalan air yang teratur. 

Katanya, beberapa tempat yang sesuai dan selamat sedang dikenalpasti bagi tujuan itu. 

"Selepas musim banjir atau tengkujuh pusat itu akan digunakan untuk pelbagai tujuan seperti aktiviti kemasyarakatan, belia dan sukan. 

"Kita anggarkan kos pembinaan setiap satu RM500,000 dan kita akan bina beberapa buah di negeri ini seperti di Air Putih," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan banjir di Pasir Gajah, Air Putih, Kemaman hari ini. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerjaraya, Ir. Rosli Othman dan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar. 

Selain bantuan kerajaan, Petronas juga menyumbangkan RM3.4 juta kepada mangsa banjir di Kemaman dan Resort World Kijal turut memberi bantuan berbentuk barangan. 

Mengenai perkhidmatan kenderaan amfibia kata Ahmad, kerajaan negeri bercadang menyediakan kemudahan itu hujung tahun ini. 
Menurutnya, kenderaan itu bersaiz seperti lori atau bas yang mempu membawa kapasiti penumpang yang lebih besar dan muatan barangan sehingga 10 tan. 

"Selepas tenkujuh, kenderaan berkenaan akan digunakan di Tasik Kenyir bagi tujuan pengangkutan pelancongan", ujarnya.

Wednesday, January 15, 2014

[BANJIR] Sukarelawan mula agih TV, peti sejuk, tilam, bantal & dapur.

KEMAMAN: Kegembiraan terpancar di wajah mangsa banjir di Kampung Pengkalan Pandan di sini hari ini ketika mendapat barangan keperluan rumah daripada Kelab Putera 1Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ekoran bencana banjir awal Disember lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pengkalan Pandan, Mohd Satti Said, berkata sebanyak 607 set barangan iaitu televisyen, dapur gas, peti sejuk dan tilam mula diagih sejak 4.30 petang semalam. 

"Dengan bantuan 100 sukarelawan, Alhamdulillah pengagihan barangan berjalan lancar sehingga pukul 12 malam semalam dan saya jangka bantuan fasa pertama ini akan habis diagihkan menjelang 12 tengah malam ini. 

"Sehingga kini, penduduk datang memunggah sendiri barangan tersebut menggunakan lori, van dan bagi yang tiada kenderaan, mereka meminta pertolongan jiran dan saudara mara mereka untuk menghantar barangan ke rumah," katanya. 

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu turut 'berkampung' di kampung itu untuk menyerahkan sumbangan wang tunai RM500 daripada kerajaan persekutuan. 

Pasangan warga emas, Halifah Said, 68, dan suaminya Mat Nor Sulong, 74, menerima barangan keperluan itu yang dihantar jiran-jiran terdekat ke rumah mereka berikutan mereka tidak mampu mengambilnya sendiri akibat masalah kesihatan. 

"Tok minta jiran yang tolong pasangkan barang-barang elektrik ini sebab Tok tak berapa pandai nak buat sendiri. 

"Terima kasihlah banyak-banyak kepada kerajaan sebab bagi sumbangan ini. Maklumlah kami suami isteri dah tua, harap sumbangan anak saja setiap bulan... manalah mampu nak beli semua ini dengan duit sendiri," katanya yang sedih kerana semua barangan rumah musnah akibat dinaiki air setinggi empat meter. 

Peniaga satar, Fauziah Mat Soh, 39, berkata bantuan itu sangat ditunggu-tunggu mereka sekeluarga kerana semua barangan elektrik di rumahnya ditenggelami air selama sembilan hari. 

"Seronoknya hati Allah sahaja yang tahu kerana saya ada dua anak yang masih kecil iaitu Muhammad Izzat, 3, dan Mohd Aqil Danish yang berusia empat bulan yang sangat memerlukan tilam. 

"Selain itu, saya juga bersyukur sangat kerana empat lagi anak yang masih bersekolah turut menerima bantuan pakaian sekolah dan beg," katanya yang kerugian hampir RM15,000 selepas peralatan dan bahan mentah membuat satar rosak akibat banjir. 

Bagi Nasir Omar, 52, pula pendapatannya yang hanya membuat kerja-kerja kampung untuk menyara hidup menjadikan impian membeli barangan seperti televisyen dan peti sejuk selepas banjir kelihatan agak mustahil. 

"Manalah saya mampu nak beli semua barangan ini... harganya pun mahal. Terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan ini untuk kami yang menjadi mangsa banjir," katanya yang mahu membelanjakan RM500 sumbangan kerajaan pusat untuk membeli barangan dapur. 

Semua barangan itu dijangka habis diagihkan secara berperingkat sehingga April ini. 

Sebanyak 19,205 keluarga di Terengganu menerima bantuan banjir daripada Kelab Putera 1Malaysia dan SKMM dan daripada jumlah itu kira-kira 14,000 adalah mangsa banjir di daerah Kemaman.

Sunday, January 5, 2014

'Aksi' YB masa banjir !!

Berikut dilampirkan 11 keping gambar amatur yang dikumpulkan oleh [ADMIN] menunjukkan aksi-aksi Yang Berhormat Tuan Haji Wan Abdul Hakim bin Wan Mokhtar (ADUN Air Putih, Kemaman) ketika menghadapi ujian banjir baru-baru ini.
 












ATM terus bantu mangsa banjir di Kemaman

KEMAMAN 3 Jan. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menghulurkan bantuan bekalan makanan berupa 600 kampit beras yang dimuat dalam tiga trak tentera untuk diagihkan kepada mangsa banjir di daerah ini hari ini.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, kesemua bekalan makanan itu diserahkan kepada Pejabat Parlimen Kemaman di sini untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Beliau memberitahu, usaha itu merupakan sumbangan berterusan daripada ATM membantu mangsa sejak daerah itu dilanda banjir terburuk pada 2 Disember lalu.

"Sejak banjir melanda daerah ini awal Disember lalu, pihak kami telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa di pusat-pusat pemindahan termasuk bekalan air bersih dan pemeriksaan kesihatan.

"Kini selepas banjir surut, kita agihkan pula bantuan bekalan makanan seperti ini. Insya-Allah jika ada peruntukan lain, kita akan terus hulurkan bantuan untuk keperluan mangsa banjir di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan itu kepada Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman merangkap Ahli Dewan Negara, Senator Rohani Abdullah di pekarangan Kompleks Rakan Muda Kemaman di Mak Lagam dekat sini semalam.

Mohamad Zaki berharap supaya bantuan ini dapat meringankan beban ribuan mangsa banjir di seluruh daerah ini.

"Keutamaan diberikan kepada mangsa banjir yang tinggal di kawasan kritikal selain mereka yang tidak berkemampuan," katanya sambil menambah bantuan serupa akan diagihkan kepada mangsa banjir di Hulu Terengganu pada Ahad ini.

Sementara itu Rohani terharu dengan keprihatinan ATM yang berterusan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di daerah ini.

"Sehingga kini sudah hampir sebulan banjir surut tetapi pihak ATM masih tidak putus-putus memberikan bantuan untuk keperluan mangsa di daerah ini," katanya.

Mangsa yang bakal menerima bantuan itu melibatkan kawasan yang teruk dilanda bencana itu antaranya Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Mak Chili, Kampung Paya Berenjut, Kampung Desa Maidam dan Kampung Binjai.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140104/wt_02/ATM-hulur-600-kampit-beras-kepada-mangsa-banjir#ixzz2pVoEkeNd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

RM400 juta untuk naiktaraf sistem air di Kemaman

KEMAMAN 4 Jan. - Kerajaan negeri menjangka akan membelanjakan kira-kira RM400 juta bagi menaik taraf sistem agihan dan pembekalan air di daerah ini menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ketika ini, kerajaan negeri sudah melantik biro perunding untuk membuat kajian terperinci berhubung keperluan itu.

"Kita jangkakan bekalan air di daerah ini akan menghadapi masalah kritikal satu hingga dua tahun lagi, jadi kita memerlukan sistem baharu untuk mengukuhkan lagi, sekali gus menampung keperluan air.

"Buat permulaan, kita sudah memulakan pembelian bekalan air dari Kerteh ke kawasan perindustrian Telok Kalong yang membabitkan kos pemasangan paip bernilai RM50 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan persekolahan tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu majlis di Dewan Sivik Kijal, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 200 murid dari 14 buah sekolah di daerah Kemaman menerima bantuan dua pasang pakaian seragam sekolah, sepasang kasut dan sebuah beg serta peralatan alat tulis.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi), Bahagian Perkhidmatan dan Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin dan Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB negeri, Ir. Saharenam Mukhtar.

Sementara itu, Mohd. Aminuddin berkata, TNB sedang menaik taraf sistem bekalan elektrik terutamanya selepas kejadian banjir baru-baru ini.

"Sebanyak 5,606 pengguna TNB terjejas bekalan elektrik akibat banjir.

"Semua usaha yang dijalankan TNB ini bertujuan meningkatkan lagi daya harap bekalan elektrik di seluruh Terengganu agar masalah gangguan bekalan dapat diminimumkan, sekali gus memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140105/wt_01/Naik-taraf-sistem-agihan-air#ixzz2pVnC1g75 © Utusan Melayu (M) Bhd