Terkini di Kemaman !!!

Friday, June 28, 2013

Shabery yakin Kuala Besut milik BN

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan untuk tidak terlalu gelojoh untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N1 Kuala Besut, Terengganu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan Anwar itu menyerlahkan lagi sikap politik sebenar pembangkang yang tidak sensitif terhadap keluarga Arwah yang ingin 'menerkam' kerusi berkenaan.

"Perlu menghormati keluarga Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar yang baru meninggal dunia."

"Ini sikap orang politik, bila orang bersedih dia (pembangkang) seolah-olahnya gembira, bagi Anwar terus menunjukan rasa tamaknya dan kegelojohannya untuk menerkam satu kerusi yang ada disitu." katanya selepas pelancaran Consumerisation of Cloud di Bandar Utama hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Shabery menjelaskan beliau turut yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi tersebut memandangkan parti itu telah memenangi kerusi itu dengan selesa sebelum ini.

"Tiada sebab BN akan kalah kerana kita melihat kerusi tersebut sebagai kerusi yang penting dan akan mendapatkannya," katanya.

Monday, June 24, 2013

Pemuda UMNO Kemaman kecam penghinaan ke atas Islam dan Nabi Muhammad !!


Berikutan satu penghinaan yang amat teruk kepada junjungan besar Nabi Muhamad S.A.W dan agama Islam dilaman sosial Facebook iaitu di pautan https://www.facebook.com/photo.php?fbid=506798476056417 pada 24/6/2013, Barisan kepimpinan Pemuda UMNO di seluruh Bahagian Kemaman melahirkan perasaan amat sedih, marah dan kecewa atas perlakuan pemilik akaun Facebook "Sally Yen".



"Penghinaan melampau antaranya melabelkan Nabi Muhammad sebagai ‘haiwan gila seks’ dan agama Islam dilabelkan sebagai ‘agama dajal’ itu menunjukkan pelaku tidak menghormati penganut agama lain. Kami barisan Pemuda UMNO di Kemaman amat bimbang kedamaian dan kerukunan Negara Malaysia akan tergugat jika tiada tindakan tegas diambil dan perkara ini terus berterusan," kata Setiausaha Pemuda UMNO Kemaman, Sdr Faisal Johar

Beliau menambah bahawa orang yang menyatakan pernyataan sebegini rupa mungkin tidak memahami Islam sebenarnya namun tindakan menghina agama lain secara sebegitu dahsyat dilaman-laman sosial hendaklah dihentikan segera supaya tidak melarat dan lebih berleluasa.

Selain itu, Ketua Penerangan Pemuda Kemaman, Sdr Abdul Nasir Muhamad memohon perkara yang amat serius ini mesti disiasat dengan serta merta. Beliau menambah bahawa Pemuda UMNO Kemaman mendesak pihak Polis dan Kementerian berkaitan menjejaki segera pemilik sebenar akaun Facebook tersebut dan dibawa ke muka pengadilan berdasarkan undang-undang yang sedia ada.

"Kami juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya saling menghormati antara satu sama lain dan tidak membangkit hal-hal sensitiviti agama dilaman-laman sosial kerana ianya pasti akan memudaratkan nikmat keamanan yang telah kita kecapi sejak sekian lama," tambah beliau lagi.

Oleh yang demikian, satu laporan polis di buat di Balai Polis Cukai pada petang 24/6/2013. Laporan tersebut telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Kemaman, Sdr Abdul Nasir Muhamad.

Sunday, June 23, 2013

Sidang Parlimen bermula esok dijangka paling hangat !!!

Persidangan pertama Dewan Rakyat yang akan bermula esok dijangka mendapat perhatian ramai terutamanya selepas banyak spekulasi yang melabelkan mesyuarat kali ini akan lebih 'hangat'.

Borak-borak politik masyarakat Malaysia juga tentunya bertambah rancak jika sidang Dewan Rakyat itu disiarkan secara langsung bagi sesi soal jawab selama sejam, sepertimana dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam laman sosial Facebooknya baru-baru ini.
DS Shabery Meninjau persiapan membuat liputan sidang parlimen yg bermula esok.

Berdasarkan Takwim Dewan Rakyat, mesyuarat pertama Dewan Rakyat Isnin akan bermula dengan acara pemilihan Yang Dipertua (YDP) Dewan, majlis angkat sumpah anggota Parlimen, diikuti usul untuk menamakan dua Timbalan Yang Dipertua.

Urusan majlis itu perlu diselesaikan sebelum acara perasmian mesyuarat penggal pertama disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Selasa.

Kesemua 222 anggota Parlimen akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua dewan yang baharu yang dipersetujukan oleh anggota dewan manakala jawatan dua timbalan akan dipilih oleh para anggota Parlimen daripada kalangan mereka.

Persidangan Dewan selama 16 hari itu merupakan mesyuarat pertama, penggal pertama Parlimen ke-13 yang diadakan selepas pilihan raya umum 5 Mei lepas.

Komposisi anggota Parlimen kali ini ialah 133 Barisan Nasional (BN), DAP 38, PKR 30 dan PAS 21. Kemasukan 98 muka baharu yang berbeza latar belakang pendidikan dan pengalaman juga dijangka menambah tarikan pada persidangan kali ini.

Tugas berat pastinya tergalas di bahu Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua timbalannya yang akan dipilih kelak untuk memastikan kelicinan perjalanan mesyuarat.

Pada pesidangan kali ini, jawatan Yang Dipertua dan timbalannya akan menyaksikan pertandingan di mana pihak kerajaan dijangka menamakan semula Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai YDP Dewan Rakyat, begitu juga anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee yang mungkin kekal sebagai timbalan.

Sementara pakatan pembangkang menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai YDP dan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai calon timbalan YDP.

Jawatan timbalan YDP menyaksikan satu kekosongan setelah Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Mengulas mengenai sesi baharu Parlimen, Pandikar Amin tidak bersetuju dengan persepsi bahawa mesyuarat kali ini lebih hangat daripada sebelumnya, namun mengakui sebagai YDP bukan mudah untuk memenuhi kehendak semua anggota Parlimen.

"Bagi saya keadaan semasa 2008, 2010 dan sebelum pilihan raya adalah kemuncak kerenah anggota Parlimen di dewan.

"Ini kerana mereka yang kembali dalam Parlimen ke-13 ini hampir sama personalitinya (dengan anggota Parlimen sebelum ini). Memang ada yang baharu (anggota Parlimen) tetapi kita tidak boleh menyimpulkan dengan kehadiran mereka dewan akan lebih 'dahsyat' dari yang sebelumnya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya setakat ini belum nampak anggota-anggota baharu itu akan menonjolkan kepimpinan luar dugaan dalam Dewan Rakyat.

"Mungkin juga mereka itu lebih 'gentleman'...mungkin mereka akan menunjukkan contoh yang baik ketika berbahas," katanya merujuk kepada beberapa anggota Parlimen baharu pembangkang yang disebut-sebut bakal memeriahkan persidangan antaranya Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Nashrudin Hassan Tantawi (PAS-Temerloh), Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) dan Stephen Wong (DAP-Sandakan).

Bagi ramai pemerhati politik, muka-muka baharu yang dilabel sebagai 'ayam sabung' itu akan menambah kecaman dan serangan agresif terhadap BN.

Berdasarkan itu, Pandikar Amin berpandangan anggota Parlimen penyokong kerajaan (BNBBC) perlu memainkan peranan lebih berkesan kerana mereka menggalas tugas berat untuk mempertahankan kerajaan walaupun jumlah mereka kini lebih kecil.

"Tidak semestinya ramai baru dapat berkongsi (berbahas) secara objektif. Kalau ramai tetapi hujah yang dikemukakan tidak ada 'substance' buat apa," katanya.

Pandikar Amin turut berharap anggota-anggota Parlimen 'veteran' terus memainkan peranan aktif kerana jika tidak berbuat demikian tentunya akan "merugikan BN", manakala ketiadaan Konsensus Bebas disifat suatu kekurangan dalam Dewan Rakyat kali ini.

Daripada segi isu, pilihan raya umum ke-13 dijangka terus menjadi topik hangat selain Perjanjian Kerjasama Trans Pasific (TPPA), isu keselamatan dan polis, termasuk kematian banduan dalam lokap serta manifesto pilihan raya.

Selain itu tumpuan juga akan diberi kepada penghulu baharu Parlimen Malaysia Datuk Seri Shahidan Kassim, yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau memegang portfolio menjaga hal ehwal Parlimen dan secara rasmi ambil alih tugas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Mesyuarat pertama itu juga akan menyaksikan pelaksanaan beberapa pembaharuan termasuk penggunaan e-book (e-Buku) dan pembentangan laporan anggota Parlimen melalui visual.

Pendekatan itu bertujuan mengurangkan penggunaan kertas di Parlimen di samping melicinkan perjalanan ketika persidangan.

Pada mesyuarat kali ini tiga rang undang-undang baharu akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Pesekutuan) 2013, Rang Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah (Wilayah -Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.

Persidangan mesyuarat kali ini masih berlangsung di bangunan sementara Dewan Rakyat kerana kerja-kerja penambahbaikan dewan asal masih belum siap sepenuhnya.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-12 merupakan persidangan pertama di Blok Dewan sementara yang berlangsung pada 3 Okt 2011.

Persidangan dewan akan berjalan seperti biasa dari 10 pagi hingga 5.30 petang, dan berhenti rehat satu setengah jam mulai 1 tengah hari.

Persidangan Dewan Negara pula akan diadakan pada 22 Julai sehingga 8 Ogos.

Oleh Sharifah Nur Shahrizad Syed Mohamed Sharer

Wednesday, June 19, 2013

[Jurang Digital] Malaysia negara contoh - Shabery

Malaysia merupakan sebuah negara contoh yang berjaya merapatkan jurang digital di kalangan rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Bagi saya, kita boleh berbangga berbanding negara lain kerana Malaysia mempunyai cerita kejayaan tersendiri, terutama dalam menghubungkan rakyatnya melalui jalur lebar, Internet dan sebagainya yang mana kadar penebusan kita dari segi mudah alih misalnya, melebihi jumlah rakyat itu sendiri.

"Kejayaan kita dari segi broadband atau jalur lebar sehingga lebih 60 peratus jika dibandingkan dengan negara seumpama kita, yang terdapat bandar dan luar bandar serta kawasan yang bertebaran luas, kejayaan kita adalah sesuatu yang kita boleh banggakan apabila kita berkongsi maklumat dan tahap kejayaan yang dicapai oleh negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pavilion Malaysia di Pameran Infocomm Media Business Exchange (imbX) yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.

Terdahulu, Ahmad Shabery dan Menteri Komunikasi Brunei Pehin Dato Abdullah Bakar menyaksikan upacara menandatangani kerjasama dua hala antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pihak Berkuasa Untuk Maklumat Komunikasi Industri Teknologi Brunei.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura Dr Yaacob Ibrahim.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery tidak menafikan terdapat negara yang lebih maju seperti Korea dan Singapura.

"Korea lebih maju sebab masyarakatnya lebih terletak di bandar, begitu juga kalau dibandingkan dengan Singapura, keseluruhan rakyatnya ada di bandar.

"Tetapi dalam konteks negara yang ada masyarakat bandar dan luar bandar serta kawasan yang bertebaran luas, Malaysia adalah merupakan negara contoh yang boleh dibanggakan, ramai yang berada di sini bertanya dan ingin mengetahui apakah program, misalnya kampung tanpa wayar yang dilaksanakan kerajaan bagi merapatkan jurang IT di kalangan rakyat," katanya.

Bagi melaksanakan program jalur lebar, beliau berkata tiada sekatan dari segi kandungan Internet.

"Ini adalah satu komitmen dalam dasar jalur lebar dan dasar langit terbuka kita, ia perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Sepuluh firma Malaysia terlibat dalam pameran di Pusat Konvesyen dan Expo Marina Bay Sands manakala Celcom, DiGi, Measat, PIKOM, RedTone, TM Time Global, Time Global Transit, U-Mobile and Maxis antara lebih 2,000 syarikat dari 56 negara serta wilayah yang mengambil bahagian pada acara yang dihadiri lebih 50,000 orang untuk berkongsi pengetahuan.

Thursday, June 13, 2013

Kecaknaan YB Kemasik disyukuri Siti Rahimah

Penderitaan Siti Rahimah Merah, 52, yang menghidap sakit buah pinggang mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Dan Pengangkutan negeri Ir Rosli Othman yang meluangkan masa melawatnya di Felda Kerteh 6, di sini hari ini.

Rosli yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, berjanji akan membaiki rumah Siti Rahimah serta menambah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ketika ini diterimanya sebanyak RM200.

"Saya akan mengemukakan permohonan kepada JKM supaya dapat menambah bantuan bulanan kepada wanita ini bagi mengurangkan beban kewangannya yang sesuai dengan keperluan semasa.

"Kita juga akan mempercepatkan proses membaiki rumah keluarga miskin ini supaya mereka dapat hidup dengan keadaan yang lebih selesa pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Siti Rahimah berkata beliau bersyukur kerana keperitan hidupnya mendapat perhatian Adun Barisan Nasional itu. 

Katanya beliau menderita penyakit itu sejak 2011 dan kini perlu berulang alik ke Hospital Dungun untuk dialisis.

"Kos ulang alik ke hospital dan bayaran dialisis hampir RM200 setiap minggu memang membebankan saya kerana pendapatan suami, Mohamad Salleh, 59, juga tidak menentu," katanya. - Bernama

Monday, June 10, 2013

Shabery gesa ahli UMNO terus sokong Najib

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa semua anggota Umno supaya terus menyokong kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak jika jawatan tertinggi Umno itu dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

Menurutnya, ini kerana di bawah kepimpinan Najib, UMNO terbukti terus menjadi pilihan rakyat apabila parti itu memenangi 88 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan menjadi parti yang mendapat sokongan tertinggi berbanding parti lain.

Ahmad Shabery, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata prestasi Umno dalam PRU13 amat membanggakan yang mana kemenangan 88 kerusi itu begitu hampir dengan gabungan ketiga-tiga parti pakatan pembangkang dengan 89 kerusi.

"Datuk Seri Najib juga mendapat sokongan ramai pengundi Melayu di bandar walaupun ramai yang mendakwa Melayu bandar tidak lagi menyokong Umno seperti digembar-gemburkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan rakyat di Felda Neram Satu di sini hari ini.

Ahmad Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman berkata, Najib sendiri telah melakukan pelbagai transformasi dalam sistem pemilihan Umno yang menjadikan demokrasi terus subur dalam parti itu. - Bernama

Sunday, June 9, 2013

Shabery di jamuan rakyat di Felda Neram 1, Kemaman


Beramah mesra bersama masyarakat Neram 1, Kemaman

Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek pada 9/6/2013 (Ahad) telah hadir  ke dua program bersama masyarakat iaitu di Felda Neram 1 dan Perkampungan Orang Asli Sg. Pergam, Kemaman.



Bersama masyarakat Orang Asli Sg Pergam, Kemaman
Sementara itu, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengenal pasti identiti dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W melalui laman sosial Facebook dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kementerian itu memandang serius kes penyalahgunaan Internet di negara ini, terutama membabitkan penyebaran fitnah dan hasutan yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat.



Selepas makan tengahari bersama warga Felda Neram 1, Kemaman.
"Saya ingin mengingatkan setiap pengguna Internet di negara ini bahawa mereka tidak akan terlepas dari undang-undang, walaupun perlakuan atau penyataan mereka di laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog itu adalah atas dasar peribadi kerana ianya boleh mencetus provokasi di negara ini," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan jamuan rakyat di Felda Neram Satu, juga berkata kecanggihan teknologi membolehkan individu terbabit dikesan pihak berkuasa seperti kes-kes sebelum ini termasuk yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Jumaat lalu, dua akaun Facebook menggunakan nama 'Calvin Gani' dan 'Rakyat Anarki' mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan menghina nabi.

Ahli Parlimen Kemaman menyampaikan ucapan di Felda Neram 1
Ditanya kemungkinan Malaysia menyekat akses media sosial seperti Facebook, Ahmad Shabery berkata, langkah itu tidak perlu buat masa ini kerana medium berkenaan juga mempunyai kebaikan yang dapat dimanfaatkan banyak pihak.

"Kita tidak akan mengharamkannya hanya kerana tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab cuma rakyat perlu tahu pihak berkuasa tidak akan berdiam diri jika mereka menyalahgunakan penggunaan laman media sosial.

YB ADUN Air Putih, Kemaman turut bersama dalam
Jamuan Rakyat  di Neram  1, Kemaman
"Tetapi saya tidak menolak kemungkinan itu andainya terdapat penggunaan secara negatif yang keterlaluan hingga mendatangkan rasa resah, gelisah dan kemarahan di kalangan rakyat.....mungkin ketika itu kerajaan perlu menerima pandangan dan desakan dari pelbagai pihak untuk melakukannya," katanya.

Antara negara yang mengharamkan akses Facebook ialah China, Vietnam, Syria, Iran, Pakistan, Korea Utara dan Uzbekistan. - BERNAMA



Thursday, June 6, 2013

Senarai Exco Kerajaan Negeri Terengganu 2013

Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan
Datuk Seri Ahmad Said
Menteri Besar
Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan
Datuk Tengku Putera Awang
Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
Datuk Mohd Jidin Shafie
Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air
Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman
Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia
Rozi Mamat
Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat
Dr A Rahman Mokhtar
Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan
Rosli Othman
Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan Peladangan dan Komoditi
Nawi Mohamad
Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi
Roslee Daud
Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas Khas
Ghazali Taib
Sumber: Berita Harian

Tuesday, June 4, 2013

Kerteh 06 - Jom bantu keluarga ini (014-5401915)

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah situasi sukar yang dialami seorang bapa lima anak kerana bukan sahaja isteri lumpuh malah empat anak turut menghidap penyakit sama.

Luluh hati Jumahir Mahsom, 47, apabila seorang demi seorang anak lelakinya tidak membesar dengan normal, sebaliknya hanya mampu bergerak dengan mengesot sahaja apabila usia mereka mencecah lebih setahun, kerana mengalami kecacatan fizikal dan lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Kesemua anak lelakinya itu, Ahmad Arif Aiman, 17; Ahmad Aripin, 13, Ahmad Zainudin, 9, dan Ahmad Budiman, 8, yang mewarisi penyakit genetik daripada ibu mereka hanya menghabiskan masa di rumah kerana pergerakan yang terbatas.

Hanya seorang anaknya iaitu yang ketiga dan juga perempuan tunggal, Nor Hanisah, 12, yang normal dan mampu berjalan serta bersekolah.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, Jumahir sendiri tidak dapat bekerja berat berikutan penyakit gout yang dialaminya.

Jumahir yang melakukan kerja-kerja kampung berkata, biarpun ujian maha besar itu kadangkala membuatkannya menitiskan air mata, namun dia reda.

“Malah, saya kagum dengan semangat isteri, Rohayati Abdullah, 42, kerana biarpun kurang upaya dia tetap jalankan tanggungjawab dalam rumah tangga.

“Walaupun isteri dan anak bergerak secara mengesot, tetapi mereka boleh berdikari dan anak pandai menguruskan diri sendiri,” katanya ketika menerima kunjungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Semai Bakti Felda Kerteh 6 dan Skuad Sayang Dun Kemasik di rumah mereka di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Felda Kerteh 6.

Rombongan KRT dan Skuad Sayang itu yang diketuai Pengerusi KRT Kampung Semai Bakti, Anuar Husin dan turut disertai isteri Adun Kemasik, Fadzliaton Ruhaizan Ramli menyampaikan sumbangan hamper buat Jumahir sekeluarga.

Sementara itu, Anuar berkata, keluarga Jumahir sering diberikan keutamaan untuk menerima bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Tujuan kita menziarahi keluarga ini bagi menunjukkan bahawa keluarga mereka sentiasa diberikan perhatian dan pihak KRT mengambil berat akan nasib penduduk yang kurang berkemampuan.

"Diharapkan sumbangan yang disampaikan dapat menggembirakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang bersimpati dan mahu menyumbang boleh menghubungi Jumahir menerusi talian 014-5401915.

Monday, June 3, 2013

Shabery ajak rakyat budayakan media sosial lebih sihat !!!

Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek melalui Facebook rasminya mengajak rakyat Malaysia membangunkan budaya Media Sosial yang lebih sihat dengan perkongsian bijak dan bukan sebarang fitnah dan hasutan. 

Beliau juga memaklumkan bahawa akaun Facebook personalnya iaitu http://www.facebook.com/personalshaberycheek dikendalikan menggunakan telefon beliau.

Manakala bagi Facebook Fan Pages beliau iaitu http://facebook.com/officialshaberycheek dikendalikan menggunakan Komputer dan Laptop apabila ada kelapangan.

Beliau menyatakan hasrat untuk cuba sedaya upaya untuk menjawab semua persoalan, aduan dan cadangan dan mohon kerjasama sesiapa punya jawapan untuk persoalan rakan-rakan FB beliau bagi membantu kerana beliau juga ada kalanya sibuk dengan rutin harian seorang Menteri dan Ahli Parlimen.

[Bendung Fitnah] Lesen penyiaran media sosial dikaji - @shaberyc

"Malaysia merupakan antara negara yang bebas menggunakan laman sesawang berbeza dengan negara-negara lain seperti di China yang menyekat laman popular Facebook."

"Kita sedang kaji undang-undang yang dibuat oleh Singapura. Ia mesti dilihat sejauh mana tidak bertentangan dengan prisip kebebasan," 


Kerajaan akan mengkaji untuk mengenakan bayaran lesen penyiaran media sosial sepertimana yang dilakukan oleh Singapura bagi membendung fitnah dan perkara-perkara negatif di laman sesawang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, undang-undang Republik Singapura yang mengenakan bayaran 50 ribu dolar kepada syarikat yang menggunakan media sosial terutamanya melibatkan sektor penyiaran.

"Kita sedang kaji undang-undang yang dibuat oleh Singapura. Ia mesti dilihat sejauh mana tidak bertentangan dengan prisip kebebasan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sehari ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri KKMM Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Rothiah Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Multimedia), Datuk Md Afendi Hj Hamdan.

Jelasnya, Malaysia merupakan antara negara yang bebas menggunakan laman sesawang berbeza dengan negara-negara lain seperti di China yang menyekat laman popular Facebook. Baca sepenuhnya di KL POS.

Sunday, June 2, 2013

Sasaran jualan RM800,000 promosi kraf di Kemaman

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu menyasar jualan sebanyak RM800,000 sepanjang Promosi Kraf Malaysia 2013 di Mesra Mall di sini mulai semalam hingga 27 Mei ini.

Pengarahnya Khairul Hafizi Naharuddin berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu berikutan jualan sepanjang promosi tahun lepas mencecah RM502,700 untuk tempoh lima hari promosi.

"Pada asalnya, kita hanya sasar jualan sebanyak RM250,000 sepanjang promosi tahun lepas, tetapi jumlah yang diperolehi jauh lebih besar dan ini membuktikan betapa hasil kraftangan Malaysia sangat diminati ramai.

"Malah maklum balas yang diterima dari usahawan yang menyertai promosi kali ini sangat memberangsangkan dan permintaan untuk menyertainya meningkat kepada 54 usahawan berbanding 21 usahawan tahun lepas," katanya kepada Bernama hari ini.

Antara usahawan yang mengambil bahagian terdiri daripada usahawan tekstil yang berupa batik dan songket, hasil rimba, aksesori wanita, logam dan tembikar.

Pengunjung juga teruja dengan promosi ini yang mempamer pelbagai barangan yang menarik minat mereka yang selama ini promosi lebih banyak diadakan di pusat kraf di Kuala Lumpur.

Nur Atiqah Ahmadi, 31, berkata promosi ini memberi ilham kepadanya untuk menghiasi rumahnya dengan barangan kraf pada hari raya nanti.

"Saya teruja melihat dekorasi hasil dari tembikar dan ukiran kayu yang sangat cantik dan mempunyai ciri-ciri tradisional yang sesuai dihias di rumah kerana ia sentiasa relevan sepanjang zaman.

Syafiqah Hanum, 25 pula tertarik dengan demonstrasi anyaman dan mencanting batik.

"Biasanya saya hanya lihat di kaca televisyen. Tetapi hari ini dapat buat sendiri, memang seronok. Tambahan pula banyak aksesori wanita dan sutera yang sudah siap dijahit yang dijual serendah harga RM280," katanya.

Turut diadakan ialah persembahan kebudayaan, pendidikan kraf, mewarna batik blok dan mengukir kayu. - Bernama

Shabery mahu filem "Tanda Putera" ditayangkan kepada umum !!!



Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) patut membenarkan filem 'Tanda Putera' ditayang kepada orang ramai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata dengan tayangan filem itu, rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap mesej yang disampaikan menerusi filem kenegaraan arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu.

"Tiba masanya 'Tanda Putera' ditayang untuk tontonan semua," katanya dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.

Filem 'Tanda Putera' terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Finas, memaparkan kisah Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Filem itu, yang dibuat pada 2011 dan dilulus tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem dengan sijil PG13, sepatutnya menemui penonton mulai 15 Nov lepas.

Bagaimanapun, Jemaah Menteri membuat keputusan menangguhkan filem itu berikutan ada babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat.

Filem yang menelan belanja RM4 juta itu dibintangi Rusdi Ramli yang diberi tanggungjawab memegang watak Abdul Razak, Zizan Nin sebagai Dr Ismail, manakala Faezah Elai memainkan watak isteri Abdul Razak, Tun Rahah Tan Sri Mohamad Noah.

- BERNAMA

Pihak hina Yang Di Pertuan Agong bakal dikenakan tindakan !

Pihak yang hina Yang Di Pertuan Agong bakal dikenakan tindakan.