Terkini di Kemaman !!!

Friday, January 6, 2017

Insurans Banjir : RM569000.00 telah diagihkan kepada mangsa banjir di Kemaman

KEMAMAN – Sebanyak RM569,000 pampasan insurans bencana telah diagihkan kepada 569 mangsa banjir di Kemaman sejak November 2015, kata Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM424,000 telah diagihkan kepada 424 mangsa banjir di Parlimen Kemaman tahun lalu manakala RM145,000 pula diagihkan kepada mangsa banjir hari ini. “Skim yang dinamakan ‘Kampungku’ ini adalah sebahagian daripada Model Kemaman Siap Siaga yang diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana, mangsa banjir hanya membayar sebanyak RM50 dan tambahan RM24 lagi dibayar oleh Pejabat Parlimen Kemaman. “Skim insurans ini telah menjadi budaya di daerah ini, pada mulanya hanya penduduk yang pernah dilanda banjir sahaja mencarum tetapi sekarang ini penduduk di kawasan yang tak pernah kena banjir pun turut menyertainya kerana keperluan mungkin bencana lain menimpa seperti ribut, kebakaran dan sebagainya,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasik bersama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. Ahmad Shabery berkata skim insurans yang diperkenalkan selepas berhadapan dengan banjir buruk pada 2014 itu memberi manfaat kepada mangsa banjir di daerah tersebut. “Mangsa yang ditimpa bencana atau banjir akan menerima RM1,000 dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dan bagi saya dengan wang tersebut mereka boleh beli banyak keperluan lain,” katanya. Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata pihaknya juga telah meminta Agro Bank untuk turut membangunkan insurans pertanian bagi melindungi petani dan penternak sekiranya ditimpa bencana. “Bagi saya insurans ini penting kerana pertanian merupakan satu sektor yang mempunyai risiko yang besar. Kalau tak kerana banjir, mungkin penyakit, kemarau dan sebagainya…ia sentiasa ada risiko,” katanya. Mengulas mengenai banjir yang berlaku ketika ini, beliau berkata pihaknya sedang membuat penilaian keseluruhan kemusnahan pertanian dan penternakan akibat bencana yang berlaku di seluruh negara. “Setakat ini yang paling besar ialah di Kelantan, Hulu Terengganu dan di beberapa kawasan di Terengganu…kita akan mendapatkan maklumat terperinci berapa penternak dan petani yang terjejas serta jumlah kerugian sebenar,” katanya. – BERNAMA