Terkini di Kemaman !!!

Saturday, October 5, 2013

Malissa manfaatkan 13 tahun pengalaman dalam Puteri

Calon Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Malissa Ab. Solah berazam menggunakan pengalamannya selama 13 tahun dalam politik untuk membantu membawa lebih banyak perubahan kepada sayap parti itu.

Malissa, 31, yang pernah menyandang jawatan sama dari tahun 2000 hingga 2008 dan Ketua Penerangan Puteri UMNO Negeri pada 2005 memberitahu, beliau menawarkan diri setelah memutuskan kembali aktif dan menyemarakkan perkembangan pergerakan itu.

"Insya-Allah, saya akan jadikan ilmu dan pengalaman semasa memegang jawatan Naib Ketua Puteri Bahagian sebelum ini sebagai asas membantu menjayakan dasar dan matlamat perjuangan Puteri.

"Kita perlu berani memberikan idea untuk membawa transformasi dalam organisasi dan saya yakin mampu memikul tanggungjawab sebagai Naib Ketua dengan baik sekiranya diberi mandat," katanya yang kini Ketua Puteri UMNO Cawangan Pekan Kertih di sini.

Malissa yang berasal dari Kampung Tengah, Kertih pernah menjadi Pegawai Khas kepada bekas ADUN Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali pada 2000-2008 dan ADUN Kemasik sekarang, Ir. Rosli Othman (2008-2011) sebelum menjadi pegawai kepada Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selain menjadi pengasas Kelab Permotoran Puteri UMNO Kemaman pada 2010, beliau juga merupakan penggerak kepada Kelab Tarian Tatih Seni Kemaman. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Umno_2013/20131004/um_14/Malissa-manfaatkan-13-tahun-pengalaman-dalam-Puteri#ixzz2gqT0Zs00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment