Terkini di Kemaman !!!

Sunday, April 22, 2018

PRU14 : Shabery Cheek calon BN Parlimen Kemaman


Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek merupakan Menteri di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak 29 Julai 2015 hingga sekarang. Sebelum ini beliau merupakan Menteri di Kementerian Komunikasi Dan Multimedia. Beliau juga merupakan ahli Parlimen Kemaman. Shabery dilahirkan di Kijal, Kemaman, Terengganu pada 10 Disember 1958. Beliau berkahwin dengan Sharifah Ismail pada 1983.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sungai Lembing dan Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban. Setelah itu, beliau menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya pada 1983 dalam bidang ekonomi. Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana dari bidang sains politik University of Leeds, United Kingdom 1986 selain itu mempunyai Diploma Lanjutan dalam bidang Perhubungan Antarabangsa dari Universiti Uppsala, Sweden 1989. Beliau pernah dipilih sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universti Malaya (PMIUM).1982 – 1983 beliau menjadi Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Universiti Malaya (University of Malaya Islamic Students Associations). Pada 1989 - 1990 beliau dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Sains Sosial Malaysia.


Pengalaman dalam Kerjaya

Beliau pernah menceburi profesyen pendidikan apabila menjadi seorang pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya pada tahun 1990.Selain itu, beliau pernah menjadi fellow penyelidik di Institut Kajian Asia Tenggara Singapura (ISEAS).Pada tahun 2004 sehingga sekarang beliau masih lagi merupakan Ahli Parlimen Kemaman, Terengganu.Selain itu juga beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Parlimen, Kementerian Luar Negara, Malaysia (Mac 06-Mac 08) dan Menteri Penerangan, Malaysia pada Mac 2008 hingga 2009. Pada awal April 2009 beliau dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Mei 2013 hingga 28 Julai 2015 beliau adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Rombakan Kabinet pada 28 Julai 2015, YAB Perdana Menteri melantik beliau sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.


Politik
Beliau adalah Ketua UMNO cawangan Gong Cengal dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman. Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Terengganu. Beliau pernah bersama dalam parti Semangat 46 bersama Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1990. Mereka kembali menyertai UMNO apabila Semangat 46 dibubarkan. Beliau adalah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO sehingga sekarang.

Pada 2004, beliau di bawah Barisan Nasional, memenangi kerusi Parlimen Kemaman mengalahkan penyandang dari Parti Keadilan Nasional, Abdul Rahman Yusof. Beliau mendapat 36,517 undi berbanding Abd Rahman Yusof 20,635 undi. majoriti kemenangan 15,882 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Beliau telah mempertahankan kerusi P40 Parlimen Kemaman, selepas menang dengan mendapat undi sebanyak 37,139 mengalahkan calon dari PKR lawan Mohd Fariz Bin Abd Talib @ Musa yang mendapat 24,516 undi. Majoriti kemenangan sebanyak 12,683 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2013, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 12,306 undi. Beliau mendapat 45,525 undi mengalahkan Kamarudin Chik dari PKR yang mendapat 33,219 undi.


Pilihanraya ke 14 (PRU14)

Pada 22 April 2018, beliau sekali lagi diumumkan selaku calon mewakili Barisan Nasional untuk kerusi P040 Parlimen Kemaman. Pilihanraya yang diadakan pada 9 Mei 2018 menyaksikan 3 penjuru antara BN, PAS dan PKR.

No comments:

Post a Comment