Ahli Parlimen Kemaman yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang mempersenda insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
"Itu saya amat sedih kerana apabila berlakunya tragedi sepatutnya rakyat semua bersatu.
"Kita tidak boleh melihat perkara ini untuk dipersendakan dan ada orang hanya senang berkata apa-apa yang berkaitan kerajaan dan yang dinyatakan kerajaan adalah tidak benar," katanya.
Ahmad Shabery yang ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini mengulas perbuatan segelintir rakyat negara ini yang berterusan menggunakan medium media sosial untuk mempersendakan dan mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab mengenai insiden itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata rakyat sepatutnya tahu bahawa apa yang berlaku sekarang ini di luar kebiasaan dan melibatkan kepakaran untuk merungkai kejadian.
"Saya pernah menyebut kalau kita lihat siri 'air crash investigation', berlakunya kemalangan berkaitan pesawat ada pelbagai sebab, pelbagai perkara, tidak semestinya semua itu dapat dirungkai dengan mudah," katanya.
Ditanya mengenai tindakan kementerian terhadap mereka yang mempersenda insiden itu, Ahmad Shabery berkata buat masa ini tumpuan kementerian adalah kepada usaha untuk mencari dan menyelamat pesawat terlebih dahulu.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal dilapor hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh warga China dan 38 rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment