Terkini di Kemaman !!!

Monday, March 3, 2014

Apa 'YB Kemaman' buat di Sepanyol ?


BARCELONA 28 Feb. - Pembangun dan pembekal aplikasi dunia perlu lebih telus dalam mengumpul maklumat peribadi daripada pengguna, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, dalam menerima pakai teknologi komunikasi maklumat (ICT), para pengguna perlu sedar mengenai tujuan mengumpul data peribadi dan perlunya data sedemikian dilindungi.

"Apabila mereka memberi maklumat peribadi sendiri dalam Internet, mereka perlu tahu untuk apakah data itu digunakan," katanya dalam sesi mengenai kerahsiaan mudah alih dan kerahsiaan merentas sempadan pada Program Peringkat Menteri di Kongres Dunia Mudah Alih 2014 yang diadakan di sini dari 24 hingga 27 Feb.

Kongres tahunan itu dianjurkan oleh Persatuan GSM yang berpejabat di London.

Ahmad Shabery berkata, Malaysia sebagai contoh, telah mengambil langkah untuk melindungi data peribadi menerusi Akta Perlindungan Data Peribadi yang diluluskan pada 2010 dan berkuat kuasa pada 15 Nov 2013.

Ahmad Shabery berkata, usaha selanjutnya perlu dilakukan untuk memahami ekonomi data dengan lebih baik.

"Kita perlu lebih memahami ekonomi baharu ini, iaitu ekonomi data. Data, secara sendirinya, tidak memberi banyak makna," katanya.

Beliau berkata apabila set-set data besar dikumpul dan dianalisis, mereka yang memiliki data itu dan mampu menjadikannya sebagai sesuatu yang bernilai, akan mempunyai imbangan kuasa.

Akhirnya, 'pemain terbaik' yang akan menjadi lebih berkuasa dan mereka akan melakukan segala-galanya untuk melindungi kelebihan daya saing mereka, katanya.

"Para pengguna perlu diberi kesedaran mengenai perkara ini, dan ketika kerajaan dan pemain industri mempunyai peranan untuk mendidik mereka, isu-isu itu sering kali melangkaui sempadan-sempadan nasional," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140301/dn_19/Perlu-lebih-telus-dalam-kumpul-data-peribadi#ixzz2uuGPv9Rz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment