Terkini di Kemaman !!!

Thursday, April 24, 2014

"Bantah Sampai Tumbang" pada 1Mei berniat Jahat !


Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai ‘Perarakan Haram Bantah Sampai Tumbang’ yang dijadual bermula di KLCC dan berakhir di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini kerana program itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012. Mereka menyasarkan 100 ribu orang untuk hadir berarak dari KLCC ke Dataran Merdeka.

Program itu tidak mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa selepas pihak penganjur perhimpunan gagal mengemukakan surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka untuk menggunakan lokasi berkenaan.

Pertemuan dengan anggota jawatankuasa penganjur, S. Arutchelvan, yang juga setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pembantunya pada 16 April lepas bagi tujuan mendapatkan maklumat bagi membolehkan polis membuat persiapan awal.

Arutchelvan telah memberitahu bahawa mereka semua akan berkumpul di KLCC pada tengah hari dan kemudian akan berarak ke Dataran Merdeka.
Sepatutnya mereka yang bertanggungjawab menganjurkan perarakan haram ini supaya mematuhi Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran pihak pengurusan lokasi perhimpunan.

Untuk rekod, dua hari selepas pertemuan itu, pihak penganjur telah menghantar notis pemberitahuan mengenai perhimpunan kepada pihak polis tanpa surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka.

Pada 21 April lepas, pihak POLIS telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Anggota Parlimen Batu, Tian Chua dan Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli. Mereka memaklumkan akan mengadakan perhimpunan yang sama tetapi disebabkan masih tidak mempunyai kebenaran daripada pengurusan di kedua lokasi itu maka pihak Polis menasihatkan mereka supaya memilih lokasi alternatif di Stadium Merdeka.

Polis mengesyorkan supaya mereka memohon kepada Perbadanan Stadium Malaysia untuk mendapatkan kebenaran namun sehingga ke hari ini mereka juga tidak memberikan sebarang jawapan.

Justeru, oleh kerana pihak penganjur gagal mematuhi akta tersebut dan sekiranya diteruskan maka ia menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Oleh yang demikian, perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu tidak wajar diadakan kerana hanya menimbulkan lebih banyak masalah daripada kebaikan. Perkara berhubung GST ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara lebih baik dan bukannya dengan mengajak rakyat untuk berhimpun di jalanan.

Kenapa perlu membawa rakyat ke jalanan untuk membantah GST. Sepatutnya mereka yang terlibat boleh menggunakan Parlimen sebagai tempat meluahkan sebarang rasa tidak puas hati. Kalau begini, tiada guna ada ahli Parlimen pembangkang. Sebab itu, kami membantah himpunan haram seperti ini yang hanya akan menyusahkan rakyat biasa yang tinggal di ibu Negara.

Selain itu, perhimpunan haram itu nanti mampu memberikan kesan buruk kepada sosio ekonomi negara khususnya kepada rakyat biasa. Perhimpunan dan perarakan haram yang dianjurkan oleh pembangkang dengan target seramai 100 000 orang penyertaan di sekitar ibu kota hanya akan menyusahkan orang ramai, peniaga termasuk pemandu teksi.

Kita sudah pun kekurangan bilangan pelancong dari luar negara selepas insiden kehilangan pesawat MH370. Jangan ditambah lagi dengan perhimpunan jalanan haram yang akan menakutkan pelancong dari luar untuk datang ke sini.

Oleh yang demikian, kami mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak awal dalam mengekang penganjuran perhimpunan haram yang dirancang itu. Kami mohon KDN dan polis bertindak tegas terhadap mereka yang menjadi dalang penganjuran perhimpunan itu. 

Tidak perlu takut untuk bertindak terhadap mereka ini yang jelas hanya mahu memburukkan nama negara di mata dunia dengan mengadakan perhimpunan jalanan yang pasti mendapat liputan daripada agensi berita dari luar Negara.

Dalam pada itu kita yakin bahawa GST akan memberi implikasi positif kepada nilai eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Apabila GST dilaksanakan kelak, eksport akan meningkat 0.5 peratus kerana barang-barang eksport akan jadi murah dan kompetitif, dan KDNK secara keseluruhan akan meningkat kepada 0.3 peratus.

Untuk rekod, struktur GST di Malaysia merangkumi pengecualian terhadap pelbagai jenis barang dan perkhidmatan yang bertujuan memenuhi keperluan rakyat di negara ini. Ini berbeza di Singapura yang mengenakan GST ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan kewangan serta rumah kediaman. 

Kita juga yakin, pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April 2015 pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus akan membawa impak jangka panjang kepada pembangunan Negara. Kadar GST serendah enam peratus yang ditetapkan kerajaan adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurangan cukai individu, cukai korporat dan bantuan kewangan tunai.

Oleh yang demikian, kami mengajak semua rakyat tidak keliru dengan permainan licik pembangkang yang sentiasa berusaha mengelirukan rakyat hanya semata-mata untuk mengekalkan sokongan politik kepada mereka. 

Sekian terima kasih,

KUMPULAN SUARA ANAK MUDA KEMAMAN
Tarikh: 24/4/2014

No comments:

Post a Comment