Terkini di Kemaman !!!

Sunday, June 29, 2014

MERDEKA: Nelayan Kemaman/ Paka bakal cipta rekod dunia & disiar 'Discovery Channel'

Perarakan bot terbesar di dunia yang akan berlangsung sempena bulan kemerdekaan negara pada 13 Sept ini, akan mendapat liputan dan disiarkan di rangkaian televisyen luar negara seperti Discovery Channel.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perarakan melalui jalan laut melibatkan 7,000 peserta dan lebih 1,000 bot nelayan itu bermula di Kuala Paka ke Kuala Kemaman sejauh 70 kilometer.


“Ini merupakan satu perarakan bot yang terbesar dan terbanyak melibatkan lebih 1,000 buah yang akan tercatat di dalam Guinness Book Of World Records sebagai perarakan bot terbesar.

“Saya difahamkan sebelum ini pada tahun 2012 sebanyak 670 bot telah mengadakan perarakan di sungai Thames, London sempena ulang tahun pemerintahan Queen Elezabeth ke-60,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran tapak pelepasan peserta perarakan bot terbesar di dunia di Pekan Paka, di sini, hari ini.

Turut hadir di majlis itu Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Fuad Hassan dan Pegawai Pembangunan Dungun Datuk Din Adam

Ahmad Shabery berkata perarakan bot melibatkan nelayan Kuala Paka, Kertih, Kemasik, Kijal dan Kemaman itu paling mencabar kerana ia diadakan melalui jalan laut.

Katanya yang lebih penting rekod ini akan diabadikan di dalam pelbagai bentuk dokumentasi, bukan sahaja disiarkan melalui televisyen tempatan, tetapi juga disiarkan melalui rangkaian televisyen antarabangsa.


Beliau berkata perarakan itu juga merupakan satu manifestasi kepada perjuangan nelayan yang mereka ini akan diberi pengiktirafan bahawa tanpa mereka, orang ramai tidak dapat menikmati makanan laut.

Ahmad Shabery berkata melalui perarakan itu orang ramai akan dapat melihat keindahan negara di mana Kuala Paka hingga ke Kuala Kemaman adalah merupakan antara tempat yang tercantik di negara ini.

Katanya ini merupakan satu cara untuk menghargai atau memenuhi maksud tema hari kemerdekaan kali ini iaitu “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” dan ini adalah perkara-perkara penting dan besar maknanya. – Suara Generasi Baru

No comments:

Post a Comment