Terkini di Kemaman !!!

Wednesday, July 2, 2014

CCI sasar RM33 Billion untuk negara - Shabery


Industri Kandungan dan Infrastruktur Komunikasi (CCI) berada di landasan betul untuk mencapai sasaran pendapatan negara kasar (PNK) sebanyak RM33 bilion bagi 2014 berbanding RM30.4 bilion pada 2013.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata peningkatan itu dijangka dipacu oleh perbelanjaan modal lebih tinggi oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi menerusi pelaksanaan Long Term Evolution Technology (LTE) untuk pasaran dalam negara.

"Pada 2013 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) CCI memberi fokus kepada infrastruktur komunikasi dan ekosistem bagi kandungan serta aplikasi dan mencatat pencapaian 102 peratus daripada sasaran ditetapkan, didorong oleh pencapaian sepuluh projek permulaan di bawahnya," katanya pada sidang media mengenai pencapaian NKEA CCI bagi 2013 di sini pada Rabu.

Beliau berkata NKEA CCI adalah penting dalam usaha menjadikan negara berpendapatan tinggi kerana industri itu sentiasa berkembang dan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat ekonomi.

"Ia juga mewakili infrastruktur utama bagi abad ke-21 dengan kajian di peringkat global menunjukkan hubungan langsung antara penembusan perkhidmatan komunikasi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Beliau berkata pendapatan daripada eksport kandungan kreatif pula meningkat kepada RM565 juta pada 2013 berbanding RM200 juta pada 2010, manakala sasaran untuk tahun ini dijangka mencecah kira-kira RM600 juta.

Ahmad Shabery berkata anggaran perbelanjaan produksi Malaysia yang layak (QMPE) pula dijangka meningkat kepada RM200 juta pada tahun ini berbanding pencapaian pada 2013 sebanyak RM149 juta.

"Kita akan terus memberi penekanan untuk mewujudkan lebih nilai produksi yang berpusat di negara ini selain memberi fokus kepada pasaran luar negara yang diramalkan boleh menjana pendapatan sebanyak USD158 billion," katanya.

Beliau berkata melalui bidang itu juga dapat dilihat persiapan lain terutama dalam meningkatkan keupayaan tenaga kerja dan pertambahan beberapa saluran.

"Jadi pada tahun depan dijangkakan kita akan memperkenalkan portal MyCC4dWorld," katanya.

Mengenai jalur lebar untuk semua pula, Ahmad Shabery berkata kadar penembusan jalur lebar negara mencapai 67 peratus pada tahun lepas dan disasarkan mencapai 95 peratus menjelang 2020.

"Langganan kepada sistem 3G mencapai 18 juta, dari segi liputan ia melibatkan 2.5 juta rumah untuk fasa pertama Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB1)," katanya.

Beliau berkata terdapat beberapa isu yang perlu diatasi untuk HSBB1 terutama dalam hal berkaitan kelajuan dan sehubungan itu kelajuan bagi fasa 2 HSSB pula disasarkan mencapai ke tahap 100 megabit per saat manakala jalur lebar pinggir bandar pula disasarkan 10 megabit per saat.

"Kadar penembusan jalur lebar yang semakin meningkat membolehkan akses kepada maklumat dan memberi peluang kepada rakyat untuk meningkatkan ekonomi negara serta daya saing di peringkat global," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment