Terkini di Kemaman !!!

Tuesday, July 22, 2014

Kembara Pemuda ziarah 40 rumah belia sakit/OKU

KEMAMAN - Kembara Sukarelawan Prihatin Ramadan anjuran Pemuda Umno Kemaman dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kemaman mengunjungi 40 pesakit dan OKU dari kalangan belia di 10 buah kampung di dalam kawasan DUN Air Putih Kemaman.
Program yang bermula pada 10.00 pagi itu telah singgah ke sepuluh buah kampong iaitu Kg Dadong, Kg Teladas, Kg Air Putih, Kg. Jenang, Neram 02, Ceneh Baru, Peringkat 4 Ceneh, Neram 1, Kg Tambahan Neram dan Jabor Perasing.
Ketua Pemuda Umno Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim berkata rombongan itu turut menghulur sumbangan barangan keperluan harian bernilai lebih RM4800.00 kepada pesakit terbabit. 
"Kunjungan dilakukan bukan sahaja untuk menceriakan mereka, paling penting anggota rombongan dapat memberi motivasi kepada belia agar tetap bersemangat melawan penyakit dan berterusan menjalani rawatan," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Turut serta Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kemaman, Azizi Azran Abdullah, Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian merangkap Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia Terengganu, Mohd Fauzi Mat Adam, wakil Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kemaman, Marwari Mohamad dan Penyelaras Pemuda Umno Dewan Undangan Negeri Air Putih, Amizu Mohd Noor.
Sumbangan yang dihulurkan berupa pek makanan bernilai lebih RM100 dan selimut tebal (toto) selain wang tunai yang turut disumbang ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.
Azizam Abu Kasim, 32, yang menghidap sawan sejak lahir berkata beliau gembira dengan sokongan tersebut. 
Ibu kepada pesakit mental, Siti Fatimah Husin, 57, berkata sumbangan dapat menjimatkan perbelanjaan dapur keluarganya selama sebulan. 

- disesuaikan dari laporan Sinar Harian

No comments:

Post a Comment