Terkini di Kemaman !!!

Thursday, June 13, 2013

Kecaknaan YB Kemasik disyukuri Siti Rahimah

Penderitaan Siti Rahimah Merah, 52, yang menghidap sakit buah pinggang mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Dan Pengangkutan negeri Ir Rosli Othman yang meluangkan masa melawatnya di Felda Kerteh 6, di sini hari ini.

Rosli yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, berjanji akan membaiki rumah Siti Rahimah serta menambah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ketika ini diterimanya sebanyak RM200.

"Saya akan mengemukakan permohonan kepada JKM supaya dapat menambah bantuan bulanan kepada wanita ini bagi mengurangkan beban kewangannya yang sesuai dengan keperluan semasa.

"Kita juga akan mempercepatkan proses membaiki rumah keluarga miskin ini supaya mereka dapat hidup dengan keadaan yang lebih selesa pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Siti Rahimah berkata beliau bersyukur kerana keperitan hidupnya mendapat perhatian Adun Barisan Nasional itu. 

Katanya beliau menderita penyakit itu sejak 2011 dan kini perlu berulang alik ke Hospital Dungun untuk dialisis.

"Kos ulang alik ke hospital dan bayaran dialisis hampir RM200 setiap minggu memang membebankan saya kerana pendapatan suami, Mohamad Salleh, 59, juga tidak menentu," katanya. - Bernama

Monday, June 10, 2013

Shabery gesa ahli UMNO terus sokong Najib

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa semua anggota Umno supaya terus menyokong kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak jika jawatan tertinggi Umno itu dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

Menurutnya, ini kerana di bawah kepimpinan Najib, UMNO terbukti terus menjadi pilihan rakyat apabila parti itu memenangi 88 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan menjadi parti yang mendapat sokongan tertinggi berbanding parti lain.

Ahmad Shabery, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata prestasi Umno dalam PRU13 amat membanggakan yang mana kemenangan 88 kerusi itu begitu hampir dengan gabungan ketiga-tiga parti pakatan pembangkang dengan 89 kerusi.

"Datuk Seri Najib juga mendapat sokongan ramai pengundi Melayu di bandar walaupun ramai yang mendakwa Melayu bandar tidak lagi menyokong Umno seperti digembar-gemburkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan rakyat di Felda Neram Satu di sini hari ini.

Ahmad Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman berkata, Najib sendiri telah melakukan pelbagai transformasi dalam sistem pemilihan Umno yang menjadikan demokrasi terus subur dalam parti itu. - Bernama