Terkini di Kemaman !!!

Thursday, June 13, 2013

Kecaknaan YB Kemasik disyukuri Siti Rahimah

Penderitaan Siti Rahimah Merah, 52, yang menghidap sakit buah pinggang mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Dan Pengangkutan negeri Ir Rosli Othman yang meluangkan masa melawatnya di Felda Kerteh 6, di sini hari ini.

Rosli yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, berjanji akan membaiki rumah Siti Rahimah serta menambah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ketika ini diterimanya sebanyak RM200.

"Saya akan mengemukakan permohonan kepada JKM supaya dapat menambah bantuan bulanan kepada wanita ini bagi mengurangkan beban kewangannya yang sesuai dengan keperluan semasa.

"Kita juga akan mempercepatkan proses membaiki rumah keluarga miskin ini supaya mereka dapat hidup dengan keadaan yang lebih selesa pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Siti Rahimah berkata beliau bersyukur kerana keperitan hidupnya mendapat perhatian Adun Barisan Nasional itu. 

Katanya beliau menderita penyakit itu sejak 2011 dan kini perlu berulang alik ke Hospital Dungun untuk dialisis.

"Kos ulang alik ke hospital dan bayaran dialisis hampir RM200 setiap minggu memang membebankan saya kerana pendapatan suami, Mohamad Salleh, 59, juga tidak menentu," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment