Terkini di Kemaman !!!

Saturday, October 5, 2013

Malissa manfaatkan 13 tahun pengalaman dalam Puteri

Calon Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Malissa Ab. Solah berazam menggunakan pengalamannya selama 13 tahun dalam politik untuk membantu membawa lebih banyak perubahan kepada sayap parti itu.

Malissa, 31, yang pernah menyandang jawatan sama dari tahun 2000 hingga 2008 dan Ketua Penerangan Puteri UMNO Negeri pada 2005 memberitahu, beliau menawarkan diri setelah memutuskan kembali aktif dan menyemarakkan perkembangan pergerakan itu.

"Insya-Allah, saya akan jadikan ilmu dan pengalaman semasa memegang jawatan Naib Ketua Puteri Bahagian sebelum ini sebagai asas membantu menjayakan dasar dan matlamat perjuangan Puteri.

"Kita perlu berani memberikan idea untuk membawa transformasi dalam organisasi dan saya yakin mampu memikul tanggungjawab sebagai Naib Ketua dengan baik sekiranya diberi mandat," katanya yang kini Ketua Puteri UMNO Cawangan Pekan Kertih di sini.

Malissa yang berasal dari Kampung Tengah, Kertih pernah menjadi Pegawai Khas kepada bekas ADUN Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali pada 2000-2008 dan ADUN Kemasik sekarang, Ir. Rosli Othman (2008-2011) sebelum menjadi pegawai kepada Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selain menjadi pengasas Kelab Permotoran Puteri UMNO Kemaman pada 2010, beliau juga merupakan penggerak kepada Kelab Tarian Tatih Seni Kemaman. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Umno_2013/20131004/um_14/Malissa-manfaatkan-13-tahun-pengalaman-dalam-Puteri#ixzz2gqT0Zs00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, September 17, 2013

Ahmad Shabery: Golongan “mendewakan” Chin Peng masih wujud


Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan rakyat bahawa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sudah mati tetapi bukan ideologi yang diperjuangkannya. Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata masih ramai yang 'mendewakan' Chin Peng di negara ini. 

"Di saat kita merayakan perjuangan Almarhum Tunku Abdul Rahman membentuk Malaysia, kita mesti ingat bahawa inilah orang yang menentang setiap perjuangan Almarhum Tuanku. "Parut dan luka penderitaan rakyat di bawah cengkaman pengganas komunis adalah trauma yang tidak akan dilupai," kata Ahmad Shabery dalam kenyataan semalam. 

Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada kira-kira 6.20 pagi kerana sakit tua, sebulan sebelum tarikh ulang tahun ke-89 kelahirannya. Chin Peng dilahirkan pada 21 Okt, 1924. Dalam reaksinya mengenai kematian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di Kota Kinabalu bahawa kerajaan tidak akan mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga Chin Peng supaya mayatnya dibawa pulang ke negara ini untuk urusan pengebumian. 

Najib menarik perhatian bahawa keganasan komunis yang dipimpin Chin Peng terutama di era darurat telah menyebabkan ribuan nyawa terkorban terutama anggota keselamatan di samping beribu yang lain mengalami kecederaan atau kecacatan. 

Hari Malaysia disambut pada 16 Sept setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh sama pada 1963. - Bernama, 17 Disember, 2013.