“Kalau dunia Arab ada Al-Jazeeranya, kalau dunia yang lain ada CNN, saya kira untuk dunia Nusantara perlu ada TV Nusantaranya,”
Hubungan kerjasama antara media Malaysia dan Indonesia harus dipertingkatkan dalam bidang penyiaran melalui pengwujudan stesen TV Nusantara untuk saluran berita global dalam usaha menyebarkan maklumat lebih tepat kepada masyarakat dunia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Gagasan TV Nusantara itu yang menggunakan bahasa Melayu dalam penyampaian beritanya, kata beliau, adalah sesuai dengan trend semasa media di beberapa negara utama dunia untuk melaporkan berita dalam saluran TV global mengikut kaca mata masing-masing dengan menggunakan bahasa sendiri.
“Kalau dunia Arab ada Al-Jazeeranya, kalau dunia yang lain ada CNN, saya kira untuk dunia Nusantara ada TV Nusantaranya,” katanya disambut tepukan gemuruh para pengamal media dari Indonesia dan Malaysia sewaktu beliau berucap pada majlis jamuan malam ‘keakraban Malaysia dan Indonesia’.
Jamuan malam itu diadakan sempena Hari Pers (media) Nasional (HPN) Indonesia 2014 di sini Ahad malam. Ahmad Shabery, yang pada siangnya menghadiri acara sambutan perhimpunan HPN 2014 di sini, sedang dalam rangka lawatan dua hari ke sini sejak Ahad.
Menteri itu berkata beliau telah berbincang dengan rakan-rakan media di Malaysia dan mewakili pandangan mereka bahawa Jakarta menjadi peneraju stesen TV Nusantara itu dengan sokongan media dan kerajaan Malaysia.
Ahmad Shabery berkata negara lain di dunia turut berlumba mengetengahkan bahasa mereka melalui saluran berita seperti di Perancis, Itali dan Sepanyol, malah beberapa negara utama sudahpun menggunakan bahasa mereka sendiri dalam saluran berita global seperti di Jepun melalui stesen NHK, China melalui CCTV, Korea Selatan melalui Arirang, Jerman melalui Duetche Wella dan dunia Arab melalui stesen Al-Jazeera.
Menteri itu sebelumnya turut memberi contoh bagaimana melalui ikatan bahasa Inggeris dan budaya telah mengakrabkan hubungan London dan Washington seperti aur dengan tebing, sentiasa bersama dan akan saling menyokong dalam keputusan dan pendirian masing-masing, begitu juga ikatan bahasa Melayu harus mengakrabkan hubungan Malaysia dan Indonesia.
“Hubungan Inggeris dan Amerika katanya ‘right or wrong this is my brother’, maka kita katanya Malaysia dan Indonesia, ‘right or wrong this is my brother’,” katanya disambut tepukan gemuruh para tetamu.
Ahmad Shabery berharap pertemuan susulan antara pihak yang berkaitan baik di peringkat kerajaan dengan kerajaan serta antara perniagaan dan perniagaan yang melibatkan pemodal media dari kedua-dua negara akan dibuat selepas ini bagi merealisasikan penubuhan TV Nusantara itu.
Pasaran untuk TV Nusantara, katanya, adalah besar dengan lebih 240 juta penduduk di Indonesia, hampir 30 juta penduduk Malaysia, dan beberapa juta lagi penduduk di Selatan Thailand, Brunei dan Singapura, adalah mewakili kira-kira separuh penduduk Asean, yang memahami bahasa Melayu.
“Kita mahu satu masa nanti bila kita bercakap tentang Komuniti Asean, yang bermula pada tahun depan, biar hegemoni (dominasi) berita Nusantara ini akan menjadi sebahagian daripada kekuatan dalam Komuniti Asean,” katanya.
Ahmad Shabery turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada agensi berita Antara dan Bernama, yang telah mengaturkan kerjasama dalam bidang penyiaran.
Pada acara itu Ahmad Shabery menyaksikan penandatanganan kerjasama pertukaran footage video antara Bernama dan Antara. Bernama diwakili Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh manakala Antara diwakili Ketua Pegawai Esekutifnya Saiful Hadi pada majlis itu.
Hadir sama pada jamuan malam itu ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment