Bagi menzahirkan tentangan keras terhadap percubaan menggugat keamanan negara oleh pihak pembangkang yang menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan cara salah dari segi undang-undang, seramai 300 orang awam dari 15 NGO seluruh Kemaman berarak dan membuat laporan polis agar tindakan tegas dapat diambil segera oleh pihak berkuasa.
Kesemua mereka berarak sambil memegang sepanduk tertulis kata-kata tentangan terhadap perbuatan pembangkang bermula dari pekarangan Pejabat Ahli Parlimen Kemaman ke Balai Polis Chukai kira-kira jam 5.30 petang.
Sebanyak 15 laporan polis dilakukan Pemuda Umno Kemaman, Puteri Umno Kemaman, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Terengganu, MAYC Kemaman, 4B Kemaman, Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS) Kemaman, Persatuan Bola Sepak Kemaman dan Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia (Perisi).
Turut membuat laporan, Permata Malaysia, Pemuda Umno Dun Chukai, Persatuan Belia Neram 1, Peniaga Pasar Chukai, Pertubuhan Silat Tapan 3 Malaysia, Gayong Serantau Kemaman, Majlis Belia Daerah Kemaman serta individu perseorangan, Mukhatar A Rahman.
Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Mohd Faisal Johar @ Ismail berkata, laporan polis itu dibuat berikutan kebimbangan berdasarkan tiga bukti utama iaitu pada sidang media 17 Mei lalu, Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan, seorang pemimpin tertinggi DAP pernah membayangkan demonstrasi melampau seperti ‘Arab Spring’ akan berlaku bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Menurutnya, bukti kedua, satu video dari Youtube menunjukkan aktivis mahasiswa bernama Adam Adli menghasut rakyat untuk menjatuhkan dan merampas kuasa kerajaan sedia ada dengan cara jalanan.
“Bukti ketiga adalah tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang lain yang terus mengadakan perhimpunan demi perhimpunan di seluruh negara mempertikaikan keputusan pilihan raya.
“Oleh yang demikian, demi keamanan negara dan nasib masa depan anak cucu kita, kami memohon pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas tanpa bertolak ansur terhadap pihak yang cuba menghuru-harakan negara dengan cara yang salah semata-mata ingin mendapat kuasa politik,” katanya kepada pemberita.
Khuatir cetus huru-hara
Katanya, apa yang dibimbangi tindakan bebas pihak berkenaan menghasut tanpa ada tindakan pihak berwajib boleh mencetus kepada perhimpunan haram yang lebih besar dan ganas pada masa depan, yang akhirnya menjejaskan seluruh rakyat negara ini.
“Hukuman tegas perlu dikenakan kepada pihak yang ingin melancarkan ‘Malaysian Spring’ dan mengadakan himpunan haram. Kami mahu pihak itu menghormati perlembagaan negara,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perisi, Yahaya Ali berkata, laporan polis itu dibuat bagi memastikan keselamatan dapat dipelihara dan tindakan segera dapat dikenakan terhadap dalang yang cuba mencetuskan kekacauan.
“Siri himpunan haram yang dilakukan boleh menghancurkan keamanan negara. Kita tidak mahu hidup dalam kekacauan. Justeru, saya juga menyeru kepada bekas tentera dan polis agar memberi sokongan penuh kepada kerajaan sedia ada,” katanya yang hadir bersama 15 ahlinya yang lain.
Mahu tegak keamanan
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman, Che Wan Azlizan Che Wan Abu Bakar yang hadir bersama 12 ahlinya berkata, mereka berarak dan berkumpul beramai-ramai itu atas dasar untuk menegakkan keamanan, supaya ia dapat diwarisi generasi akan datang.
“Polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) patut mengenakan hukuman lebih berat kepada dalang yang cetuskan himpunan haram dan huru-hara ini, apatah lagi KDN pun baru mendapat menteri baru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Silat Tapan 3 Malaysia mendesak agar siasatan sedalam-dalamnya dilakukan agar ‘kepala’ yang mendalangi semua perbuatan itu ditangkap dan dihadap ke muka pengadilan.
Bagi pertubuhan itu, dalam keadaan negara sekarang yang aman tidak perlu diadakan demonstrasi jalanan haram seperti mana yang dibuat pembangkang.
Menurut wakil Peniaga Pasar Chukai, Alias Awang pula, perbuatan cuba membangkitkan keadaan ‘Arab Spring’ merosakkan minda golongan muda seterusnya boleh menghancurkan negara.
Individu, Mukhatar berkata, himpunan ‘Blackout 505’ jelas tindak menghormati undang-undang negara dan mengganggu gugat kestabilan politik dan keselamatan negara.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment