Terkini di Kemaman !!!

Sunday, May 19, 2013

Pesta kegilaan orang kecewa - Shabery


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan himpunan membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 anjuran pembangkang tidak mencerminkan demokrasi kerana mereka sebenarnya membantah keputusan rakyat.

Sebaliknya kata beliau, perhimpunan itu hanya satu pesta 'kegilaan' orang kecewa yang tidak dapat menerima kekalahan dan mesti dihentikan.

"Bagi saya ia sangat berbahaya kerana itu bukan demokrasi.

"Demokrasi ialah penerimaan dan menerima keputusan yang telah dibuat rakyat," katanya kepada pemberita selepas melawat pameran seni 'Mera'i Demokrasi' di RA Fine Arts Gallery, di sini Ahad.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang terus menganjurkan perhimpunan konon bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 yang diadakan pada 5 Mei lepas.

Shabery berkata jika benar pembangkang tidak bersetuju dengan keputusan pilihan raya itu, mereka sepatutnya menggunakan saluran undang-undang yang ada seperti memfailkan petisyen di mahkamah.

Katanya mereka juga patut mengemukakan bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan mereka.

"Mereka mendakwa terdapat 45,000 warga Bangladesh telah dibawa masuk sebagai pengundi hantu. Saya pun tertunggu-tunggu untuk melihat buktinya. Sekurang-kurangnya tunjuklah 10 atau 20 orang, saya juga mahu melihatnya," katanya.

Katanya rakyat juga boleh menilai sendiri kewajaran perhimpunan berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata kerajaan sedia ada akan terus menggalak dan menyokong perkembangan seni halus di negara ini serta memajukannya ke tahap lebih tinggi.

Kira-kira 20 karya seni halus hasil daripada lapan artis tempatan dipamerkan di galeri itu sehingga 8 Jun ini.

No comments:

Post a Comment