Terkini di Kemaman !!!

Thursday, January 23, 2014

Shabery Mahu Kru Filem Tempatan Tingkatkan Kemahiran


Anggota kru filem perlu mengambil peluang daripada Program Pembangunan Bakat Industri Kreatif bagi meningkatkan kemahiran mereka dengan mempelajari teknik terbaharu pengeluaran filem.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata program yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Iskandar itu merupakan batu loncatan kepada karier dalam industri filem antarabangsa.

Program dengan kerjasama Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS) dan Universiti Kuala Lumpur bertujuan melatih dan memperkukuh tahap profesionalisme dan kemahiran di kalangan kakitangan produksi filem.

"Program ini satu inisiatif yang hebat dan kena pada masanya bagi membangunkan ekosistem kreatif di Malaysia, yang akan membolehkan rakyat Malaysia diiktiraf dalam bidang filem dan televisyen di peringkat antarabangsa," katanya dalam ucapan perasmian bagi kumpulan kedua program itu di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah.

Ahmad Shabery berkata industri kreatif Malaysia merekodkan pendapatan RM11.6 bilion pada 2010, yang menyumbang 1.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata penyumbang hasil terbesar ialah filem dan televisyen sebanyak 51 peratus.

Program itu menawarkan 30 kursus intensif, meliputi kemahiran pengeluaran filem dalam pengurusan produksi, jabatan seni, pemilihan pelakon, pengurusan lokasi dan pengurusan teknik bagi filem.

Program itu juga menawarkan bagi pengeluar filem Malaysia, kursus pendek lanjutan dalam penulisan skrip lakon layar dan penyesuaian, sinematografi, reka bentuk pengeluaran dan operasi penerbitan global.

Kumpulan pertama 146 pelatih menamatkan kursus Mei lepas selepas menjalani latihan vokasional intensif 10 minggu daripada pakar-pakar industri antarabangsa.

Kumpulan kedua bagi latihan itu akan bermula mulai Januari hingga Julai. Rakyat Malaysia yang layak boleh mendaftar di www.iskandar-film-training.com.my.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment