Terkini di Kemaman !!!

Thursday, January 23, 2014

Kurangkan kos caj telefon

Semua syarikat telekomunikasi (Telco) di negara ini digesa supaya mencari kaedah terbaik mengurangkan kos yang dikenakan terhadap penggunaan telefon bagi membantu meringankan beban rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah tersebut dapat membantu mengurangkan beban kenaikan kos hidup yang ditanggung oleh rakyat sejak kebelakangan ini.

"Saya yakin setiap Telco ini mempunyai kaedah bagaimana untuk membantu pengguna dalam mengurangkan beban kos penggunaan telefon ini termasuk panggilan dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Bersama Komuniti dan pelancaran Pusat Internet 1Malaysia di Felda Sungai Tengi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Soha; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Ahmad Shabery berkata, syarikat telekomunikasi perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat untuk memastikan semua rakyat mendapat faedah.

"Jangan hanya umum keuntungan berbilion-bilion ringgit tetapi rakyat berasa terbeban dengan caj dikenakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemudahan pusat internet di Felda Sungai Tengi dapat memberi manfaat kepada masyarakat Felda melonjakkan aktiviti ekonomi mereka.

"Saya berharap penduduk di Felda ini menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaik-baiknya sama ada untuk meningkatkan tahap akademik mahu pun pendapatan keluarga," katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 424 Pusat Internet 1Malaysia di seluruh negara sejak diwujudkan tahun lalu. Kos pembinaan dan kelengkapan bagi setiap pusat itu mencecah sehingga RM300,000.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140122/dn_14/Kurangkan-kos-caj-telefon#ixzz2rDKPzEwP © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment