Terkini di Kemaman !!!

Sunday, January 5, 2014

ATM terus bantu mangsa banjir di Kemaman

KEMAMAN 3 Jan. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menghulurkan bantuan bekalan makanan berupa 600 kampit beras yang dimuat dalam tiga trak tentera untuk diagihkan kepada mangsa banjir di daerah ini hari ini.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, kesemua bekalan makanan itu diserahkan kepada Pejabat Parlimen Kemaman di sini untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Beliau memberitahu, usaha itu merupakan sumbangan berterusan daripada ATM membantu mangsa sejak daerah itu dilanda banjir terburuk pada 2 Disember lalu.

"Sejak banjir melanda daerah ini awal Disember lalu, pihak kami telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa di pusat-pusat pemindahan termasuk bekalan air bersih dan pemeriksaan kesihatan.

"Kini selepas banjir surut, kita agihkan pula bantuan bekalan makanan seperti ini. Insya-Allah jika ada peruntukan lain, kita akan terus hulurkan bantuan untuk keperluan mangsa banjir di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan itu kepada Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman merangkap Ahli Dewan Negara, Senator Rohani Abdullah di pekarangan Kompleks Rakan Muda Kemaman di Mak Lagam dekat sini semalam.

Mohamad Zaki berharap supaya bantuan ini dapat meringankan beban ribuan mangsa banjir di seluruh daerah ini.

"Keutamaan diberikan kepada mangsa banjir yang tinggal di kawasan kritikal selain mereka yang tidak berkemampuan," katanya sambil menambah bantuan serupa akan diagihkan kepada mangsa banjir di Hulu Terengganu pada Ahad ini.

Sementara itu Rohani terharu dengan keprihatinan ATM yang berterusan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di daerah ini.

"Sehingga kini sudah hampir sebulan banjir surut tetapi pihak ATM masih tidak putus-putus memberikan bantuan untuk keperluan mangsa di daerah ini," katanya.

Mangsa yang bakal menerima bantuan itu melibatkan kawasan yang teruk dilanda bencana itu antaranya Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Mak Chili, Kampung Paya Berenjut, Kampung Desa Maidam dan Kampung Binjai.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140104/wt_02/ATM-hulur-600-kampit-beras-kepada-mangsa-banjir#ixzz2pVoEkeNd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment