Terkini di Kemaman !!!

Sunday, January 5, 2014

RM400 juta untuk naiktaraf sistem air di Kemaman

KEMAMAN 4 Jan. - Kerajaan negeri menjangka akan membelanjakan kira-kira RM400 juta bagi menaik taraf sistem agihan dan pembekalan air di daerah ini menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ketika ini, kerajaan negeri sudah melantik biro perunding untuk membuat kajian terperinci berhubung keperluan itu.

"Kita jangkakan bekalan air di daerah ini akan menghadapi masalah kritikal satu hingga dua tahun lagi, jadi kita memerlukan sistem baharu untuk mengukuhkan lagi, sekali gus menampung keperluan air.

"Buat permulaan, kita sudah memulakan pembelian bekalan air dari Kerteh ke kawasan perindustrian Telok Kalong yang membabitkan kos pemasangan paip bernilai RM50 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan persekolahan tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu majlis di Dewan Sivik Kijal, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 200 murid dari 14 buah sekolah di daerah Kemaman menerima bantuan dua pasang pakaian seragam sekolah, sepasang kasut dan sebuah beg serta peralatan alat tulis.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi), Bahagian Perkhidmatan dan Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin dan Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB negeri, Ir. Saharenam Mukhtar.

Sementara itu, Mohd. Aminuddin berkata, TNB sedang menaik taraf sistem bekalan elektrik terutamanya selepas kejadian banjir baru-baru ini.

"Sebanyak 5,606 pengguna TNB terjejas bekalan elektrik akibat banjir.

"Semua usaha yang dijalankan TNB ini bertujuan meningkatkan lagi daya harap bekalan elektrik di seluruh Terengganu agar masalah gangguan bekalan dapat diminimumkan, sekali gus memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140105/wt_01/Naik-taraf-sistem-agihan-air#ixzz2pVnC1g75 © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment