Terkini di Kemaman !!!

Tuesday, October 11, 2016

Datuk 12 cucu dari Bukit Kuang bakal cipta rekod Malaysia

SHAH ALAM 8 Okt. - Duta Madu Kelulut Walk 2016, Sabri Ali hari ini memulakan perjalanan solo­nya merentasi 14 buah negeri di seluruh negara untuk mempromosikan madu kelulut. Sabri, 54, atau lebih dikenali sebagai Pak Sabri, merupakan seorang juruteknik dari Terengganu dan akan berjalan secara solo sejauh 2,000 kilometer (km) selama 50 hari untuk misi tersebut.

 Majlis pelepasan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Taman Botani Negara, Shah Alam. Terdahulu Ahmad Shabery bersama-sama 3,000 peserta lain turut menyertai Sabri berjalan kaki sejauh 3.7 kilometer di kawasan taman terbabit sempena Hari Sukan Negara sebelum pejalan kaki solo itu meneruskan perjalanannya.

 Ahmad Shabery dalam pada itu berkata, Kelulut Walk adalah sebahagian daripada usaha kementeriannya untuk menyokong kempen 'Mulakan Hari Anda De­ngan Madu' yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada bulan lalu. “Kempen ini untuk mengga­lakkan pengambilan madu tempatan sebagai makanan tambahan dalam usaha mengamalkan gaya hidup sihat selain memba­ngunkan industri madu tempatan.

 “Kita berterima kasih kepada Pak Sabri atas semangat beliau membawa jenama negara ini dan sepatutnya disokong oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya pengusaha, penternak dan penggemar madu kelulut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan perjalanan itu di sini hari ini.

 Sementara itu, Pak Sabri memberitahu, beliau akan memulakan perjalanan solonya itu bermula di Taman Botani Negara, Shah Alam ke Dataran Shah Alam sejauh 40 km hari ini. Katanya, esok beliau akan bermula di Sibu, Sarawak melibatkan jarak perjalanan sejauh 42.9 km, diikuti lokasi ketiga di Kampung Budaya, Kuching pada 11 Oktober (40.2 km) sebelum ke negeri-negeri lain.

 Sabri dijadual menamatkan perjalanan solo beliau pada 1 Disember ini di Sepang, Selangor, sebelum menjayakan satu gimik pelancaran bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS). 

Misi perjalanan solo beliau akan dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai Perjalanan Solo Paling Jauh yang belum pernah direkod dan dicapai oleh mana-mana individu di negara ini.

No comments:

Post a Comment