Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu menyasar jualan sebanyak RM800,000 sepanjang Promosi Kraf Malaysia 2013 di Mesra Mall di sini mulai semalam hingga 27 Mei ini.
Pengarahnya Khairul Hafizi Naharuddin berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu berikutan jualan sepanjang promosi tahun lepas mencecah RM502,700 untuk tempoh lima hari promosi.
"Pada asalnya, kita hanya sasar jualan sebanyak RM250,000 sepanjang promosi tahun lepas, tetapi jumlah yang diperolehi jauh lebih besar dan ini membuktikan betapa hasil kraftangan Malaysia sangat diminati ramai.
"Malah maklum balas yang diterima dari usahawan yang menyertai promosi kali ini sangat memberangsangkan dan permintaan untuk menyertainya meningkat kepada 54 usahawan berbanding 21 usahawan tahun lepas," katanya kepada Bernama hari ini.
Antara usahawan yang mengambil bahagian terdiri daripada usahawan tekstil yang berupa batik dan songket, hasil rimba, aksesori wanita, logam dan tembikar.
Pengunjung juga teruja dengan promosi ini yang mempamer pelbagai barangan yang menarik minat mereka yang selama ini promosi lebih banyak diadakan di pusat kraf di Kuala Lumpur.
Nur Atiqah Ahmadi, 31, berkata promosi ini memberi ilham kepadanya untuk menghiasi rumahnya dengan barangan kraf pada hari raya nanti.
"Saya teruja melihat dekorasi hasil dari tembikar dan ukiran kayu yang sangat cantik dan mempunyai ciri-ciri tradisional yang sesuai dihias di rumah kerana ia sentiasa relevan sepanjang zaman.
Syafiqah Hanum, 25 pula tertarik dengan demonstrasi anyaman dan mencanting batik.
"Biasanya saya hanya lihat di kaca televisyen. Tetapi hari ini dapat buat sendiri, memang seronok. Tambahan pula banyak aksesori wanita dan sutera yang sudah siap dijahit yang dijual serendah harga RM280," katanya.
Turut diadakan ialah persembahan kebudayaan, pendidikan kraf, mewarna batik blok dan mengukir kayu. - Bernama
No comments:
Post a Comment