Malaysia merupakan sebuah negara contoh yang berjaya merapatkan jurang digital di kalangan rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
"Bagi saya, kita boleh berbangga berbanding negara lain kerana Malaysia mempunyai cerita kejayaan tersendiri, terutama dalam menghubungkan rakyatnya melalui jalur lebar, Internet dan sebagainya yang mana kadar penebusan kita dari segi mudah alih misalnya, melebihi jumlah rakyat itu sendiri.
"Kejayaan kita dari segi broadband atau jalur lebar sehingga lebih 60 peratus jika dibandingkan dengan negara seumpama kita, yang terdapat bandar dan luar bandar serta kawasan yang bertebaran luas, kejayaan kita adalah sesuatu yang kita boleh banggakan apabila kita berkongsi maklumat dan tahap kejayaan yang dicapai oleh negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pavilion Malaysia di Pameran Infocomm Media Business Exchange (imbX) yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.
Terdahulu, Ahmad Shabery dan Menteri Komunikasi Brunei Pehin Dato Abdullah Bakar menyaksikan upacara menandatangani kerjasama dua hala antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pihak Berkuasa Untuk Maklumat Komunikasi Industri Teknologi Brunei.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura Dr Yaacob Ibrahim.
Bagaimanapun, Ahmad Shabery tidak menafikan terdapat negara yang lebih maju seperti Korea dan Singapura.
"Korea lebih maju sebab masyarakatnya lebih terletak di bandar, begitu juga kalau dibandingkan dengan Singapura, keseluruhan rakyatnya ada di bandar.
"Tetapi dalam konteks negara yang ada masyarakat bandar dan luar bandar serta kawasan yang bertebaran luas, Malaysia adalah merupakan negara contoh yang boleh dibanggakan, ramai yang berada di sini bertanya dan ingin mengetahui apakah program, misalnya kampung tanpa wayar yang dilaksanakan kerajaan bagi merapatkan jurang IT di kalangan rakyat," katanya.
Bagi melaksanakan program jalur lebar, beliau berkata tiada sekatan dari segi kandungan Internet.
"Ini adalah satu komitmen dalam dasar jalur lebar dan dasar langit terbuka kita, ia perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat," katanya.
Sepuluh firma Malaysia terlibat dalam pameran di Pusat Konvesyen dan Expo Marina Bay Sands manakala Celcom, DiGi, Measat, PIKOM, RedTone, TM Time Global, Time Global Transit, U-Mobile and Maxis antara lebih 2,000 syarikat dari 56 negara serta wilayah yang mengambil bahagian pada acara yang dihadiri lebih 50,000 orang untuk berkongsi pengetahuan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment